Ribuan syarikat di AS fail tuntutan muflis

WASHINGTON, 1 Julai — Ribuan syarikat di Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan muflis, kadar terpantas sejak 2013 ekoran penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua, memetik The Financial Times pada Selasa.

Memetik data perkhidmatan undang-undang Epiq Group, tahun ini sebanyak 3,427 syarikat mengemukakan tuntutan muflis di bawah ‘Chapter 11’, menghampiri jumlah yang difailkan pada separuh pertama 2008 iaitu sebanyak 3,491.

“Data itu bertentangan dengan latar belakang ekonomi yang semakin baik berikutan sokongan bank pusat di seluruh dunia dan ekonomi mula dibuka semula. Kesan yang terpaksa ditanggung akibat pandemik global itu terlalu sukar untuk beberapa syarikat pulih,” kata laporan itu.



Ketua penyelidikan pasaran kredit S&P Global Ratings Sudeep Kesh berkata “sangat sukar bagi syarikat-syarikat ini untuk beroperasi dalam keadaan hampir tiada berpendapatan. Banyak tekanan terpaksa dihadapi.”

Semasa krisis kewangan 2008, terdapat 8,614 syarikat di AS muflis dan jumlahnya meningkat kepada 12,644 pada 2009, menurut laporan itu.

Laporan itu dikeluarkan berikutan Program Perlindungan Gaji (PPP) yang bertujuan membantu syarikat kecil, berakhir pada Selasa dengan lebih 130 juta dolar AS tidak digunakan.

Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin berkata pentadbiran Presiden Donald Trump menyokong undang-undang untuk menggunakan semula baki dana PPP itu.



PPP bertujuan membantu perusahaan kecil meneruskan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik, dana itu dikritik apabila beberapa syarikat besar turut dikatakan memperoleh pinjaman jutaan dolar di bawah program bantuan itu.

— BERNAMA


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading