Hizbullah lancar roket ke arah Israel selepas serangan di selatan Lubnan

Oleh – Syeikh Baran


Hizbullah lancar roket ke arah Israel selepas serangan di selatan Lubnan
Kepulan asap menjulang tinggi dari pos Israel di selatan Lubnan, Alma al-Shaab, selepas dibom Hizbullah. – Foto AFP

Serangan Israel ke atas sebuah kampung di selatan Lubnan hari ini membunuh beberapa orang daripada keluarga yang sama, mendorong Hizbullah bertindak balas dengan melancarkan tembakan roket, menurut laporan media dan pegawai tempatan,

Sebelum ini lagi, Israel dan Hizbullah kerap saling berbalas tembakan rentas sempadan sejak perang Israel-Palestin meletus Oktober tahun lalu.



Pertempuran semakin sengit sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel bertindak menyerang lebih jauh ke dalam wilayah Lubnan, manakala Hizbullah meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kedudukan tentera di utara Israel.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan serangan di Mais al-Jabal meragut empat nyawa daripada satu keluarga.

Mangsa adalah seorang lelaki, seorang awanita dan dua anak mereka masing-masing berusia 12 serta 21 tahun, manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan.

Sumber keselamatan Lubnan mengesahkan serangan itu membunuh empat orang awam.



Hizbullah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melancarkan puluhan roket Katyusha dan Falaq ke Kiryat Shmona di utara Israel, sebagai tindak balas terhadap jenayah ngeri dilakukan rejim Zionis di Mais al-Jabal.

Amerika Syarikat (AS) dan Perancis mencuba sedaya upaya mengambil pendekatan diplomatik untuk meredakan ketegangan di sempadan Lubnan-Israel.

Mengikut pengiraan AFP, sekurang-kurangnya 390 orang terbunuh dalam tempoh hampir tujuh bulan keganasan rentas sempadan di Lubnan, kebanyakannya pejuang selain lebih 70 orang awam.

Israel mengesahkan 11 tentera dan sembilan orang awamnya terbunuh.



Di Kerem Shalom, antara sempadan Israel dan Gaza, Hamas mengaku bertanggungjawab menyerang kawasan itu sehingga mengakibatkan korban di pihak rejim Zionis.

Tentera Israel mendakwa sebanyak 10 peluru berpandu dilancarkan dari Rafah ke selatan Gaza yang kini dtutup untuk membantu kemasukan trak ke kawasan pesisir pantai.

Rejim Zionis hari ini mengesahkan penutupan sempadan Kerem Shalom yang menjadi pintu masuk penting ke selatan Gaza, selepas roket dilancarkan ke kawasan itu. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button