Isteriku sebenarnya lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Isteriku sebenarnya lelaki
GAMBAR perkahwinan pasangan berkenaan. – Foto Detik.Com

Menggemparkan apabila seorang suami di Cianjur, Jawa Barat, baru-baru ini, mendapati bahawa isterinya adalah lelaki.

Portal detik.Com melaporkan rahsia ‘wanita’ terbongkar selepas pasangan itu bernikah selama 12 hari.



Menurut laporan berkenaan, si suami yang berusia 26 tahun itu tidak pernah mengetahui bahawa pasangannya itu adalah lelaki, walaupun mereka sebelum ini menjalin hubungan selama setahun.

Bagaimanapun, selepas berkahwin, lelaki itu mula curiga selepas ‘si isteri’ tidak mahu melakukan hubungan intim, tidak mahu bergaul dengan ahli keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, siasatan polis tempatan mendapati bahawa ‘wanita’ itu tidak kelihatan seperti lelaki, terutamanya kerana dia sentiasa berpakaian wanita dan bersolek.

Gambar perkahwinan juga menunjukkan si ‘isteri’ dengan rupanya seperti wanita. Suaranya juga dilaporkan lembut dan ia menyebabkan lelaki itu tidak pernah meragui identiti sebenar kekasihnya itu.



Selepas jantina sebenar ‘wanita’ itu terbongkar, keluarga sebelah lelaki membuat laporan sebelum isterinya itu ditahan polis.

Ketika ditahan, ‘wanita’ itu berdolak-dalik, namun soal siasat terhadap bapa individu terbabit mengesahkan jantina sebenarnya.

Situasi itu amat mengejutkan keluarga si lelaki memandangkan dia dan ‘isteri’ dinikahkan dengan persetujuan wali hakim.

Wanita itu sebelum ini melaporkan bahawa ayahnya tidak dapat dikesan menyebabkan mereka bernikah dengan wali hakim.



Polis kini menahan ‘wanita’ itu untuk siasatan lanjut.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button