Ibu kota ‘meriah’ dikunjungi warga asing
Kuala Lumpur: Beberapa tempat tumpuan di sekitar ibu kota termasuk pusat beli-belah Suria KLCC, Taman KLCC, Pavilion KL dan Jalan Bukit Bintang meriah dan dipenuhi rakyat tempatan dan warga asing yang mengambil kesempatan bersantai sempena cuti perayaan Aidilfitri.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati, lebih ramai warga asing bersiar-siar di ibu negara memandangkan kelonggaran pada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain tidak lagi diwajibkan membuat imbasan kod QR menerusi MySejahtera.
Seorang akauntan warga Sweden, Agnes Lundstrom, 45, mengalu-alukan kelonggaran SOP Covid-19 kerana ia memudahkan beliau untuk bergerak ke mana-mana sahaja.
Agnes, yang sudah lima tahun bekerja di negara ini, turut berasa lega kerana Covid-19 di negara ini telah beralih ke fasa peralihan endemik.
“Namun, ini tidak bermakna kita boleh mengabaikan tanggungjawab untuk sama-sama membantu mencegah penularan virus…dan kini saya lebih yakin untuk mengunjungi tempat-tempat awam kerana pihak berkuasa tempatan negara ini telah menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan semua orang mematuhi SOP,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Suria KLCC hari ini.
Sementara itu, seorang pesara dari Turki, Ahmet Cetin, 64, yang menetap di Malaysia sejak dua dekad lalu berpendapat kehadiran warga tempatan berkurangan dengan ketara memandangkan ramai yang pulang dan bercuti ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, ini kali pertama dia menyambut Hari Raya secara sendirian kerana ramai sahabat memilih untuk beraya di kampung halaman.
“Sudah dua tahun rata-rata rakyat Malaysia tidak dapat pergi melancong…dan rakan-rakan saya juga ada yang pulang ke kampung mereka di Johor, Sabah dan Sarawak. Jadi ini kali pertama saya menyambut Hari Raya seorang diri,” katanya ketika ditemui di Pavilion.
Bagi pelancong Britain, Samantha Viejo, 37, dia berasa gembira dapat pulang ke Malaysia setelah perjalanannya ke sini tertangguh sejak dua tahun lalu.
“Saya sangat bertuah kerana dapat pulang tepat pada masa sambutan Hari Raya, jadi saya dapat menikmati pelbagai juadah perayaan yang terdapat di sini,” kata ibu tunggal dua anak itu ketika ditemui di Jalan Bukit Bintang.
METRO