Polis buru dua lagi suspek kes bunuh

Polis siasat dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri

KUALA LUMPUR: Polis memburu dua lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian bunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, petang semalam.

Ini menjadikan keseluruhan tiga suspek dikenal pasti dengan kematian mangsa yang ditembak pada dahi dalam sebuah bilik hotel berkenaan.

Polis semalam mengesahkan seorang suspek sudah ditangkap di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata polis sudah memperolehi perintah reman selama enam hari ke atas suspek berusia kira-kira 40-an berkenaan, bermula hari ini hingga 9 Mei.

“Hasil siasatan awal dan soal siasat ke atas suspek, kita berjaya mengenal pasti dua lagi suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 40-an dan 50-an.

“Usaha mengesan dan menahan mereka kini giat dijalankan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti motif pembunuhan.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat akan dijalankan petang ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, BH melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan pada dahi dalam kejadian dalam bilik hotel Jalan Bukit Bintang di sini, petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang, tidak lama selepas mangsa bersama seorang rakan mendaftar masuk di hotel berkenaan.

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker