Balik Kampung Tapi Tidur Di Hotel

Apabila tiba musim perayaan, semestinya seluruh ahli keluarga akan berkumpul bersama di kampung halaman.

Sudah pasti waktu itu, keadaan rumah ibu bapa, sanak saudara menjadi sesak lagi-lagi setelah dua tahun tidak menyambut disebabkan pandemik Covid-19.

Susulan itu, ada yang akan memilih untuk menginap di hotel atau ‘homestay’ dan tindakan itu juga mengundang komen negatif segelintir pihak.



Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun tampil memberi pencerahan agar semua pihak memahami situasi sebenar supaya tidak terguris hati.

Kata Ustazah Asma’, apabila semua orang berkumpul dalam satu rumah berkemungkinan berlaku pendedahan aurat dengan ipar, sepupu atau biras.

Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya. Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur.



Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.

Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung. Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak.

Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.

Tambah Ustazah Asma’, anak-anak perlu menerangkan dengan menekankan bukan faktor tiada penghawa dingin atau suasana kampung yang menjadi faktor tetapi bagi memelihara maruah dan aurat.



Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, walaupun dah dua tahun tak beraya dengan anak-anak, lama tak balik, maka fahami dulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.

Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel atau homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut mengingatkan anak-anak untuk ‘ringan tulang’ membantu di rumah selain menggembirakan hati orang tua.

Janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak.



Sumber: Facebook @ustazahasmaharun

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button