Hanya sempat ambil beg tangan, telefon bimbit

Tanjong Karang: “Luluh hati saya apabila rumah pusaka peninggalan arwah ibu dan ayah berusia lebih 50 tahun hangus dalam sekelip mata,” kata Mariam Sarman, 53.

Mariam adalah penghuni yang terselamat dalam kebakaran rumah dua tingkat di Lorong Dua Sungai Kajang Lama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Mariam bersama empat lagi penghuni dipercayai ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri mereka selepas tingkat atas kediaman terbabit terbakar.



Menceritakan detik itu, Mariam berkata, ketika kejadian dia terjaga dari tidur dan bercadang untuk memberi makan kepada kucing di tingkat bawah.

Katanya, sebaik membuka pintu biliknya di tingkat atas, dia ternampak asap pada dinding salah sebuah bilik selain terdengar bunyi letupan kecil.

“Saya menjerit kepada ahli keluarga memaklumkan ada kebakaran sebelum kami bergegas menyelamatkan diri.

“Saya hanya sempat ambil beg tangan dan telefon bimbit. Manakala dokumen peribadi dan barangan lain tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya, hari ini.



Mariam berkata, ahli keluarganya juga sempat membawa keluar dua kereta Honda City dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah rumah.

Katanya, mereka akan menumpang sementara di rumah abangnya, Subkhi Sarman, 58, di Jalan Nenas, Sawah Sempadan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 24 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar dikejarkan ke tempat kejadian.



“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat dan terdapat lima penghuni di dalamnya terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita.

“Mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri serta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Norazam berkata, kebakaran mengakibatkan rumah berkenaan musnah 50 peratus, dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button