Mira Filzah, suami timang bayi lelaki

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah, 29, selamat melahirkan cahaya mata lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada jam 3.40 pagi tadi.

Khabar gembira itu dikongsi suami selebriti terbabit, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 32 menerusi hantaran di Instagram (IG), sebentar tadi.

‘Alhamdulillah… Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam serta selawat ke atas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW.



“Isteri syurgaku, Nur Amirah Filzah Badioezaman selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal bersamaan 10 Mei 2022 pada jam 3.40 pagi.

“Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat walafiat,” tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, Wan Emir turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sering menitipkan doa buat mereka sepanjang kehamilan isteri kesayangannya itu.

“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga ini, moga segala kebaikan buat kalian semua juga.



“Semoga Allah merahmati dan membimbing setiap dari kita dalam perjalanan melalui kehidupan yang singkat ini… Amin,” luahnya.

Januari lalu, Wan Emir mengesahkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berbadan dua di IG selepas berbulan menyimpan rahsia.

Mira dan Wan Emir mendirikan rumah tangga pada 2 September 2020 dan diraikan dalam empat majlis berasingan.

BHOnline



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button