Pasangan suami isteri selamat dikebumikan

Kuala Berang: Jenazah dua mangsa kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, selamat dikebumikan di Felda Tersat, dekat sini, hari ini.

Jenazah yang tiba dari Hospital Gerik disembahyangkan di Masjid Felda Tersat selepas solat Isyak sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila anak pasangan terbabit, ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan sebak ketika pengebumian dijalankan dan selesai jam 10.30 malam.



Nahas mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 76 JRTB Gerik-Jeli, berdekatan RnR Titiwangsa, Gerik berlaku selepas kenderaan mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh.

Nahas jam 6.45 petang semalam itu mengorbankan pemandu Nissan Latio, Azmi Imas, 46, dan Rohani Abdullah, 47, manakala dua anak mereka cedera.

Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Nissan Latio dinaiki pasangan itu dari arah Gerik dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button