Ziyad bertekad memburu pingat emas

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bertekad memadam detik hitam ketika Sukan Paralimpik Tokyo 2020, dengan memburu pingat emas di Sukan SEA Hanoi.

Atlet paralimpik negara itu dijadual bersaing dalam kategori normal sekali gus menyatakan tekadnya untuk melakukan aksi terbaik pada penampilan ketiganya di temasya dwitahunan berkenaan.

Tentunya peluang beraksi di Hanoi itu enggan disia-siakan Ziyad apatah lagi dia ingin menjelmakan kilauan pingat lebih baik berbanding meraih perak di Filipina tiga tahun lalu dan gangsa (Kuala Lumpur 2017).



“Apa yang berlaku di Jepun akan terpahat dalam pemikiran saya. Tetapi apa yang berlaku kita perlu ikhlas dan reda. Sebagai seorang atlet kita kena mempunyai pemikiran yang ikhlas dan terus berjuang.

“Itu yang saya lakukan sebaik pulang sahaja dari Tokyo. Saya tidak pernah berhenti berusaha untuk melakukan terbaik. Menjelang misi ke Vietnam nanti saya mahu memberikan 100 peratus meskipun sedar ia bukan misi yang mudah.

“Dua edisi lalu, saya berjaya meraih pingat gangsa dan perak, kini fokus saya adalah memastikan pingat emas mampu menjadi milik saya,” katanya yang turut menjangkakan persaingan sengit pencabar dari Filipina di Hanoi nanti.

Untuk rekod, Ziyad sebelum ini pernah melakukan lontaran 17.94 meter (m) ketika beraksi di Paralimpik Tokyo 2020 namun dibatalkan kerana melanggar peraturan kejohanan.



Justeru, Sukan SEA Hanoi adalah kejohanan pertamanya di peringkat antarabangsa selepas memori hitam di Tokyo.

“Bagi saya tiada yang mustahil, saya pernah membuat lontaran lebih baik di Tokyo dan saya yakin mampu menemui momentum terbaik sewaktu di Hanoi nanti,” tambahnya.

BHOnline

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button