Derita Hana Raissa

Ampang Jaya: Kerana terlambat membawa anak mendapatkan rawatan di hospital, suami isteri ini terpaksa menanggung sesal seumur hidup apabila anak kesayangan mereka berkemungkinan menderita sawan selama-lamanya.

Permata hati Mohd Azroy Johari, 30, dan isteri Nur’Aidah Zaharuddin, 29, baru berusia lima tahun namun, terpaksa membesar dengan komplikasi kesihatan selain menghidap autisme.

Mohd Azroy mengakui dia menyesal kerana tidak membawa Hana Raissa ke hospital lebih awal apabila pertama kali diserang sawan pada usia lapan bulan dan kali kedua pada 10 bulan.



“Saya juga pernah terfikir adakah apa yang berlaku kepada Hana balasan Allah kepada saya, namun saya menerima ketentuan ini selepas melihat anak OKU (Orang Kurang Upaya) lain yang kurang bernasib baik.

“Cuma, saya dan isteri terfikir bagaimana akan jadi dengan Hana apabila sudah dewasa nanti dan lebih bimbang jika kami pergi dahulu sebelum dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembah Jaya Timur, di sini.

Kongsinya, Hana Raissa adalah anak sulungnya yang dilahirkan pramatang, namun masih normal dan boleh bermain seperti kanak-kanak lain ketika awal pembesarannya.

“Semuanya berubah apabila dia diserang sawan bermula usia lapan bulan dan kerana ikutnya cakap orang, kami tidak menghantar Hana ke hospital untuk rawatan.



“Sawannya berlarutan seminggu dan kami hanya menjaganya di rumah siang dan malam, hinggalah satu hari isteri isteri kejutkan saya daripada tidur, beritahu Hana tidak bergerak dan matanya terbuka tanpa suara.

“Ketika itulah saya bawanya ke hospital dan doktor mengesahkan otak kanannya mengecut, matanya juga pernah juling selepas dua bulan diserang sawan tetapi pulih selepas rawatan,” katanya yang kini menunggu kelulusan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, ujian sampel air liur yang dijalankan di Korea Selatan turut mengesahkan Hana mengalami kerosakan genetik yang jarang berlaku kepada kebanyakan kanak-kanak autisme.

Mohd Azroy berkata, kehidupan mereka sekeluarga mencabar terutama ketika isterinya melahirkan cahaya mata kedua (Noah Reza, 3) kerana masih bekerja sebagai pemandu peribadi dan terikat dengan kerja.



“Melihat keadaan isteri yang tertekan, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi membantunya menjaga anak.

“Empat bulan juga saya ambil masa untuk fokus dengan keluarga dan kesempitan wang ketika itu memaksa saya menjual motosikal sebelum menjual nasi lemak kemudian bomboloni (Bomboloni Ampang) serta terbaru, Crispy Bites Burger di Putra Sulaiman Ampang.

“Alhamdulillah, perniagaan berjalan dengan baik dan kami juga sudah ada dua pekerja cuma perlu berusaha keras mencari wang bagi membayar yuran bulanan sekolah tadika pendidikan khas Hana yang berjumlah RM2,000,” katanya.

Sementara itu, Nur’ Aidah berkata, dia tidak pernah berasa malang kerana mempunyai anak seperti Hana Raissa, sebaliknya reda dan akan menjaganya selagi masih bernyawa



“Walaupun Hana masih ‘tantrum’ terutama ketika makan di luar dan pernah cederakan diri dengan menghentak kepala, namun dia penyejuk hati kami.

“Memang ada yang pernah mengajuk Hana kerana tidak tahu dia anak istimewa memandangkan zahirnya nampak normal, namun saya dan suami tidak berkecil hati,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button