Disangka ikan rupa-rupanya babi

Bayan Lepas: Sebuah syarikat pengimport dikompaun RM16,000 kerana menyeludup 20,736 tin produk daging berasaskan babi di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, dekat sini Februari lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, syarikat terbabit didapati baru pertama kali melakukan penyeludupan seumpama itu dengan mengisytiharkannya sebagai produk makanan ikan dari China.

Katanya, produk makanan yang ditinkan seberat 7,050.24 kilogram dianggarkan bernilai RM326,592 itu dirampas kerana diimport tanpa permit menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.



“Pihak MAQIS menjalankan prosedur persampelan dan Jabatan Kimia mengesahkan produk menggunakan label ikan itu adalah produk daging berasaskan babi.

“Ini rampasan terbesar bagi produk hiliran berasaskan babi di negeri ini pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Media dan Sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Muhammad Ikram berkata, aktiviti import produk babi dari China dilarang keras kerana negara itu terjejas teruk dengan penularan wabak demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF) dan dikhuatiri menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi di negara ini.

“Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF ialah babi hidup selain produk makanan seperti babi salai, sosej babi, babi yang ditinkan atau sebagainya.



“Produk sitaan yang telah dilucut hak itu akan dijangka akan dilupuskan dalam masa terdekat kira-kira dua minggu lagi dengan cara menggunakan teknologi insinerator,” katanya.

Perbuatan mengimport dengan mengemukakan maklumat palsu dan tidak tepat adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button