Anwar sokong buka semula siasatan ‘skandal forex’
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang usaha untuk membuka kembali siasatan berkait kerugian berjumlah RM31.5 bilion dalam ‘skandal forex’ atau tukaran wang asing membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
Ketua pembangkang itu berkata, beliau tidak ada masalah sekiranya Peguam Negara mahu membuka kes itu sekarang dan terserah kepada kerajaan hari ini untuk membuat keputusannya.
“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka. Saya tiada masalah.
“Ini beza saya dengan (Datuk Seri) Najib (Razak). Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,” katanya ketika menjawab soalan diajukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika program Debat Perdana malam ini.