Bukan ‘standard’ Asia Tenggara

HANOI: Menyapu bersih semua pingat emas dalam empat temasya dan sembilan kali bergelar juara keseluruhan membuktikan penerjun Malaysia berada pada kelas tersendiri berbanding negara Asia Tenggara lain.

Kelmarin, Malaysia yang turut menampilkan pemenang dua pingat Sukan Olimpik, Datuk Pandelela Rinong menutup kempen di Hanoi dengan membolot lapan emas, tiga perak dan satu gangsa daripada lapan acara dipertandingkan.

Lebih menarik, penerjun muda seperti Ong Ker Ying dan Bertrand Rhodict yang membuat penampilan sulung turut menghadiahkan pingat emas, perak serta gangsa.



Keputusan Malaysia menampilkan bekas penerjun berpengalaman, Datuk Leong Mun Yee menggalas tugas pengurus pasukan buat kali pertama membawa aura luar biasa.
Mun Yee memainkan peranan pen­ting untuk membantu skuad terjun melepasi sasaran.

Pemilik 17 pingat emas Sukan SEA itu mengakui, ia ‘pemanas badan’ terbaik skuad penerjun sebelum berdepan cabaran lebih getir dalam Sukan Komanwel di Birmingham yang berlangsung 28 Julai hingga 8 Ogos nanti.

“Saya puas hati dengan prestasi mereka kerana pada mulanya kita menjangkakan lapan emas dan empat gangsa.

“Saya teruja dengan apa yang dipamerkan gabungan atlet ­junior dan senior.



“Saya yakin ini permulaan terbaik buat terjun negara untuk berada dalam ‘mood’ kejohanan menjelang Sukan Komanwel,” katanya.
Mun Yee yang bersedia menggalas tugas pengurus pasukan di Birmingham jika diberi peluang percaya, penerjun muda harus terus diketengahkan bagi meneruskan kecemerlangan.

“Pada temasya kali ini skuad terjun menghantar gabungan senior dan junior, jadi misi kita selepas ini adalah mengetengahkan junior sepenuhnya di peringkat ­Sukan SEA,” kata Mun Yee.

UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button