Ruhainies tak mahu kongsi kisah Mr E lagi
Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies nekad untuk tidak lagi berkongsi kisah cintanya bersama Mr E untuk tatapan umum. Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 28, berkata, dia mahu mengambil langkah berdiam diri dan berhati-hati dalam setiap apa yang ingin dikongsikan selepas ini.
“Saya banyak belajar daripada pengalaman sebelum ini. Mungkin dulu saya sering berkongsi mengenai kekasih hati kerana dia adalah cinta pertama saya.
“Tipulah kalau saya tak teruja dan gembira berkongsi rasa hati yang berbunga-bunga. Namun, semakin menginjak usia, semakin saya sedar ada perkara yang perlu saya simpan.
“Jadi, sekarang ini saya lebih selesa berkongsi mengenai kerjaya dan perkara berkaitan bidang hiburan. Saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Menurut Ruhainies, segala berkaitan jodoh dia menyerahkan kepada Allah, namun mengharapkan jodoh terbaik dalam hidupnya.
“Saya tak mahu ulas mengenai kisah cinta dan jodoh. Biarlah saya dan keluarga saja tahu. Saya serahkan kepada Allah kerana Dia lebih tahu. Doakan saya dikurniakan jodoh yang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ruhainies bakal membintangi siri original iQiyi, Sori Naik Lori bersama Nazim Othman.
Karya bergenre komedi romantik itu bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
METRO