Beredar segera jika hujan lebat

Jasin: “Jika hujan lebat, yang mana pergi mandi cepat-cepatlah keluar, jangan ulangi perkara ini (ingkar arahan),” kata Alex Sam, 28, dari Perkampungan Orang Asli Sungai Mering, Tangkak, Johor.

Terdahulu, dia bersama enam rakannya membantu pihak bomba menyelamatkan lapan daripada 88 pendaki terperangkap di kawasan rekreasi Air Terjun Laman Tiga Budaya, Asahan, di sini, semalam.

Hujan lebat bermula kira-kira jam 8 pagi hingga 2 petang menyebabkan arus sungai berkenaan deras dan menyekat pendaki untuk menyeberang.



Menurut Alex dia bersama enam rakan pergi ke kawasan sungai itu yang menjadi sempadan antara Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, selepas mendengar bunyi siren bomba.

“Apabila sampai air sungai sudah melimpah ke jalan dan kawasan kebun sawit.

“Selepas bertanya pihak bomba beritahu ada pendaki terperangkap di atas gunung, jadi kami sepakat untuk bantu mencari mereka.

“Kami mengikut laluan denai dan menjumpai lapan pendaki di kawasan empangan yang memberitahu ada pendaki lain di kawasan atas yang enggan turun dan mahu terus berkhemah,” katanya ditemui di rumahnya di sini.



Katanya, mereka kemudian menyerahkan semua pendaki yang selamat dibawa turun kepada pihak bomba dan polis.

“Saya rasa lega dapat bantu selamatkan orang yang mandi sampai tidak dapat keluar kerana banjir (kepala air),” katanya.

Seorang lagi penduduk, Harun Ulai, 57, memaklumkan kejadian kepala air kerap berlaku di kawasan air terjun itu, jika hujan lebat berterusan selain ada beberapa kes lemas.

“Saya turun memeriksa ke kawasan ini kira-kira 12.30 tengah hari dan mendapati air sungai penuh dan laluan terputus kerana jambatan tenggelam.



“Ada empat kereta pengunjung turut ditenggelami air, namun berjaya ditarik keluar dengan bantuan bomba.

“Kawasan ini memang ramai pengunjung yang berkhemah di tepi sungai dan jeram apabila hari cuti, nasihat saya jika hujan melepasi sejam, pindahlah ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Penduduk, Mohd Noor Abu Samah, 56, dari Taman Seri Asahan yang menjadi pemandu arah pendaki ke kawasan air terjun berkenaan turut senada dan mengingatkan orang ramai sentiasa memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk renjer hutan bagi mengelak sebarang masalah.

Katanya, dia banyak terbabit dalam mencari dan menyelamatkan pendaki yang terperangkap di kawasan itu sebelum ini dengan terbaharu, seminggu sebelum puasa lalu membabitkan empat individu.



Terdahulu, Harian Metro melaporkan keseluruhan 88 pengunjung terperangkap di kawasan air terjun Laman Tiga Budaya diselamatkan bomba selepas kawasan itu dilanda kepala air, tengah hari semalam.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button