Nasib Paul Yong diketahui 29 Jun
Ipoh: Keputusan sama ada bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong dibebaskan atau didapati bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui pada 29 Jun ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadual membacakan keputusan itu pada 10 pagi.
Pasukan pembelaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu menutup perbicaraan dengan memanggil tiga saksi termasuk Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, pada 16 Mac serta saksi terakhir yang juga bapa saudara pembantu rumah terbabit, Muhammad Rusdi, 51, pada 31 Mac.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran hujah lisan selepas hakim mengarahkan pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujah bertulis sebelum atau pada 25 April dan bantahan pada 9 Mei.
Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan Paul Yong memfailkan pembelaan atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Yong, 52, mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos 2019 atas dakwaan merogol pembantu rumah yang berusia 25 tahun di rumahnya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019, antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk dua saksi dilindungi, untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan yang bermula 5 April.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.
METRO