Bangsal Jerenggen bukan sebarang bangsal

Kuala Terengganu: Dilihat dari luar hanya sebuah bangsal yang menunggu masa untuk roboh namun sebaik melangkah masuk ke dalam, ia tidak ubah seperti sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Pemilik bangsal, Baharuddin Mamat, 66, berkata, ruang rehat yang digelar ‘Bangsal Jerenggen’ itu dibinanya dengan kos RM11,000 sebagai tempat berehat buatnya selepas berniaga selain tempat solat pekerja dan tandas di dalam bangsal itu turut digunakan pelanggan yang bertandang ke kedai makannya.

Katanya yang mengusahakan kedai makan di Jalan Sultan Mohamad, di sini, idea mengubah suai ruangan dalam bangsal itu tercetus tiga tahun lalu.



“Tak sangka ramai yang terkejut melihat bangsal ini kerana orang ramai yang datang ke kedai tidak menyangka ruangan dalamannya tidak seperti bahagian di luar.

“Biasanya orang akan membuat ubah suai pada bahagian luar bagi memperlihatkan sesebuah binaan sempurna namun saya tidak berbuat demikian kerana ruangan dalaman lebih penting kerana ia dapat memberi keselesaan apabila berehat atau beribadat,” katanya ketika ditemui di Bangsal Jerenggen bersebelahan kedai makan miliknya.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Bukit Besar, di sini, kemasan di dalam bilik berkenaan direka mengikut cita rasanya yang tersendiri.

Katanya, apabila tandas di bahagian luar kedai penuh, dia akan meminta pelanggan masuk ke dalam bangsal untuk menggunakan tandas di situ dan ramai yang terkejut melihat dalaman tandas itu.



Baharuddin berkata, tandas mencerminkan kebersihan, oleh itu walaupun tandas di luar bangsal yang sering digunakan pelanggan kelihatan dindingnya agak usang namun kebersihan di dalamnya tetap terjaga.

“Tandas di dalam bangsal dan di luar bangsal saya jaga serta membersihkannya setiap masa bagi menjamin kebersihannya selain selesa untuk digunakan pelanggan.

“Sebelum ini apabila ke tandas kedai makan di mana-mana yang saya singgah saya melihat kebersihannya tidak dititik berat,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pok Din Lejeng’.



Seorang pelanggan, Rosliza Jusoh, 35, berkata, tandas di dalam bangsal kedai makan milik Pok Din, tidak ubah seperti bilik hotel kerana sangat cantik dan bersih.

“Kalau lihat bahagian luar rasanya was-was nak masuk namun sebaik pintu bangsal dibuka saya amat terkejut melihat kekemasan ditambah pula dengan adanya penghawa dingin.

“Pok Din membenarkan saya menggunakan tandas di dalam bangsal itu berikutan tandas di luar digunakan individu lain dan saya tidak sangka di luarnya kelihatan seperti rumah setinggan namun di dalamnya seperti banglo,” katanya.

Menurutnya, seperti mimpi apabila melihat bangsal itu kerana luaran tidak mencerminkan dalamnya yang amat cantik dan sempurna.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button