Wanita juga berisiko hidap kanser paru-paru

Oleh – Syeikh Baran


Wanita juga berisiko hidap kanser paru-paru
KANSER paru-paru merupakan kanser keempat paling kerap menyerang wanita di negara ini. – Gambar hiasan

KEBIASAANNYA lelaki sering dikaitkan dengan kanser paru-paru. Ia dikatakan berpunca daripada amalan merokok.

Bagaimanapun, wanita juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah itu.



Malah, lebih 2.2 juta kes kanser paru-paru telah dilaporkan pada tahun 2020 di seluruh dunia dan lebih 770,000 daripadanya adalah wanita.

Dengan peningkatan mencecah 79 peratus dalam beberapa dekad lalu, kanser paru-paru kini menjadi antara tiga kanser teratas yang menyerang populasi wanita di seluruh dunia selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Oleh yang demikian, bahagian farmaseutikal Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) telah menganjurkan satu sesi perbincangan bertajuk A Breath of Fresh Hope di ibu negara baru-baru ini.

Sesi perbincangan tersebut memfokuskan kepada kes kanser paru-paru yang semakin membimbangkan dalam kalangan wanita di Malaysia yang tidak merokok.



Sesi itu juga bertujuan menangani stigma sosial serta meneroka kesan dan implikasi perubatan untuk kanser tersebut.

Perbincangan berkenaan telah dikendalikan oleh Pengurus Besar Roche Malaysia, Deepti Saraf dengan panel perbincangan terdiri daripada Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks dan Pengasas Bersama LCNM, Dr. Anand Sachithanandan; Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr. Jennifer Leong serta Pakar Perunding Psikologi Kesihatan, Prof. Madya Dr. Caryn Mei Hsien Chan.

Ketiga-tiga pakar menekankan keperluan untuk meningkatkan akses kepada alatan diagnostik serta rawatan terapeutik bagi pesakit wanita yang sedang berjuang melawan kanser paru-paru.

Ini kerana, pesakit wanita sering diabaikan, meskipun mereka merupakan penyumbang sebahagian besar jumlah kes kanser paru-paru di Malaysia



Wanita juga berisiko hidap kanser paru-paru
Dari kiri: Deepti, Dr.Anand, Dr. Jennifer dan Dr. Caryn ketika sesi perbincangan bertajuk,
A Breath of Fresh Hope di ibu negara baru-baru ini.

Dr. Anand berkata, biarpun jumlah perokok dalam kalangan wanita di Malaysia kurang daripada 2 peratus, tetapi kanser paru-paru merupakan kanser keempat yang paling kerap menyerang mereka.

“Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat awam serta anggota kesihatan mengenai punca kanser paru-paru meningkatkan risiko masalah itu kepada golongan wanita.

“Selain tabiat merokok, punca lain termasuk terdedah kepada asap rokok, pencemaran udara yang teruk, bahan kimia seperti asbestos dan gas radon.

“Selain itu, sejarah keluarga merupakan penyebab yang sering kali terlepas pandang,” katanya.



Tambahnya, jika kanser paru-paru dikesan lebih awal, penyakit tersebut boleh dirawat dengan berkesan.

Selain implikasi perubatan, sesi tersebut turut membincangkan kekangan dalam mendapatkan diagnosis yang betul terutamanya bagi golongan wanita muda disebabkan oleh stigma sosial.

Sementara itu, Dr. Jennifer menjelaskan, ramai wanita beranggapan bahawa mereka tidak merokok, jadi tidak berisiko mendapat kanser paru-paru.

“Ini adalah tanggapan salah dan berbahaya.



“Ada kalanya, simptom-simptom tipikal sering diabaikan sehingga menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan pada peringkat awal.

“Ini akan menjejaskan peluang mereka untuk bertahan lebih lama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Caryn pula menghuraikan lebih lanjut tentang beban kesihatan mental yang ditanggung oleh pesakit kanser dalam rawatan.

“Sememangnya, apabila didiagnosis dengan kanser, ia satu perkara yang sangat penting kepada seseorang pesakit.



Tambahnya, ramai antara pesakit tidak pernah cuba mendapatkan bantuan profesional bagi menghadapi kesedihan.

Disebabkan itu, ia boleh memburukkan lagi kesihatan fizikal pesakit yang sememangnya sudah merosot.

Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading