6 bulan menahan rindu terubat
Kuala Lumpur: Syawal lalu menjadi saat paling bermakna buat Muhammad Zahin Rizal apabila bertemu cahaya mata sulungnya buat kali pertama selepas enam bulan.
Muhammad Zahin, 24, berpisah seketika dengan isteri, Nurul Syazwina Zulkefli, 23, dan anaknya Nia Adellia Aisya kerana mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.
Malah, dia juga tidak berada di sisi Nurul Syazwina ketika melahirkan anak mereka pada 9 November 2021 kerana baru sehari mendaftar di Pulapol.
Kisah mereka dikongsi Nurul Syazwina di aplikasi TikTok baru-baru ini dan menarik perhatian ramai orang.
Bercerita lanjut, Nurul Syazwina yang menetap di rumah keluarganya di Bukit Jalil di sini berkata, mereka bertemu semula pada 29 April lalu iaitu dua hari sebelum menyambut Aidilfitri.
Katanya, tidak mudah melalui detik melahirkan anak sulung tanpa suami di sisi, dan lebih sedih apabila perlu membesarkan anak sendirian selama enam bulan ketika suaminya menjalani latihan, sekali gus mengejar impian menjadi anggota polis.
“Menurut jangkaan, anak kami sepatutnya dilahirkan pada 15 November namun keluar enam hari lebih awal.
“Sakit untuk bersalin terasa selepas menghantar suami ke kem latihan dan dimasukkan ke hospital pada malam hari yang sama.
“Keesokannya, kira-kira jam 3.58 petang, saya selamat melahirkan anak dan ayah (Zulkefli Mat Sain, 54) ada cuba bantu memohon kebenaran untuk suami keluar kerana saya nak sangat dia ada bersama, tetapi tidak diluluskan.
“Bagaimanapun, suami ada dimaklumkan yang saya sudah bersalin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nurul Syazwina, sepanjang tempoh berpantang, keluarga terutama ibunya, Suraya Hashim, 47, yang banyak membantu menjaganya, manakala dia mengurus keperluan anak sepenuhnya selepas itu untuk membiasakan diri dengan rutin baharu.
“Sedih memang sedih namun apa boleh dibuat, saya perlu berkorban demi masa depan suami. Mujurlah keluarga banyak membantu malah mereka juga yang selalu tenangkan saya dan beri semangat.
“Lama juga saya dan suami tidak berhubung sehingga bulan keempat dia di kem latihan.
“Alhamdulillah, suami pulang sebelum 1 Syawal dan seminggu juga kami dapat luangkan masa bersama sebelum berjauhan semula kerana dia kini bertugas di Balai Polis Anak Bukit, Alor Setar, Kedah,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada 20 Disember 2019.
Nurul Syazwina berkata, perkongsian video di TikTok itu sekadar untuk dijadikan kenangannya, bahkan dia yang tidak mempunyai ramai pengikut TikTok terkejut apabila video itu tular.
“Syukur kerana ramai doakan saya sekeluarga malah ada yang kongsi pengalaman sama. Terima kasih saya ucapkan kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zahin turut bersedih kerana tidak dapat berada di sisi Nurul Syazwina bagi menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya namun dia akur kerana pengorbanan perlu dibuat selepas mengambil keputusan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya jangkakan isteri bersalin sebelum saya masuk ke Pulapol namun ditakdirkan sehari selepas itu.
“Nak buat macam mana, tiada rezeki untuk saya bersamanya ketika itu dan memang sedih sepanjang berjauhan namun saya lega kerana keluarga banyak membantu isteri dan bersyukur kerana akhirnya kami bertemu semula sebelum tibanya Syawal,” katanya.
METRO