Polis pantau media sosial provok isu 3R

Oleh – Syeikh Baran


Polis pantau media sosial provok isu 3R
Razarudin pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, di IPK KL, di sini hari ini. Foto: KOSMO!/SHIDDIEQIIN ZON

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyarankan orang ramai agar tidak memperbesarkan lagi isu stoking tertera kalimah Allah yang tercetus sejak dua minggu lalu susulan penjualannya di kedai serbaneka KK Mart.

“Apa yang sebelum ini dikatakan oleh Datuk Shuhaily (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) sudah tutup siasatan. Jadi, tak perlulah kita perbesarkan isu stoking kalimah Allah.



“Kita (polis) pun memantau media sosial sekiranya ada isu yang membangkit amarah antara kaum dan agama. Saya nasihatkan tiada lagi isu-isu ini (3R) dimainkan kerana ia akan mendatangkan kegusaran dan ketidaktenteraman.

“Kita bukan tidak siasat. Apabila terima sahaja laporan memang kita akan lakukan siasatan sekiranya laporan itu jatuh dalam mana-mana Akta kesalahan. Bagi peluang kepada kita untuk menentukan seterusnya kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Kuala di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak untuk berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.



Sultan Ibrahim bertitah adalah lebih baik untuk masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian itu dan bertindak secara matang selain berusaha untuk mengeratkan lagi perpaduan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika ini keadaan agak panas berhubung isu stoking sehingga mengundang kemarahan sesetengah pihak.

Beliau berkata, pihaknya menggesa semua pihak berhenti memainkan isu Agama, Bangsa dan Institusi Diraja (3R) kerana ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button