Pesanan terakhir Irfan

Kangar: “Ayah, ceq (saya) nak mati, jadi dron dan handset (telefon) ceq bagi pada adik, duit (sedekah orang ramai) yang ada itu kongsilah dengan keluarga,” demikian pesanan terakhir remaja pengidap kanser leukemia ALL (leukemia limfoblastik akut) Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, kepada bapanya, Mohd Shukri Talib, 54 yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi di sini, malam tadi.

Terdahulu anak keempat daripada lima beradik itu dibawa pulang ke rumahnya dari Hospital Tuanku Fauziah di sini sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.30 tengah malam.

Mohd Shukri berkata, pesanan arwah anaknya itu disuarakan ketika dia berseorangan menemani anaknya itu di hospital berkenaan.



“Ketika itu saya seorang di wad bersamanya manakala ahli keluarga lain menunggu kepulangan Muhammad Irfan di rumah.

“Mulanya awal pagi semalam, dia mengadu sesak nafas dan kira-kira jam 7.30 pagi ambulans tiba di rumah untuk bawa Irfan ke Jabatan Kecemasan HTF.

“Sekitar jam 12 tengah hari, Irfan kemudian dipindahkan di unit pediatrik sebelum dia minta untuk dibawa pulang ke rumah pada jam 4 petang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Guar Syed Alwi, di sini.

Katanya, anaknya memohon untuk pulang ke rumahnya supaya dia dapat bersama keluarganya di saat akhir hayatnya.



“Saya jadi sebak apabila mengenangkan pesanan itu. Tapi dalam masa sama bersyukur apabila hasratnya untuk menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tempoh hari berjaya ditunaikan.

“Malah, dia sangat gembira kerana impiannya tercapai dan amat berterima kasih kepada pihak yang membantu merealisasikan impiannya seperti TUDM, Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dan media,” katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Irfan disolatkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Syed Alwi pada jam 11 pagi ini.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan Allahyarham Muhammad Irfan hadir dalam majlis pengebumian. Turut hadir menziarahi jenazah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.



Sementara itu, Timbalan Pengerusi FOCCAN Wilayah Utara, Jazli Fairuz Jaafar yang turut menghadiri pengebumian berkata dia turut bersedih dengan pemergian kehilangan Muhammad Irfan.

“Kita sebenarnya terkejut dan tidak sangka akan pemergiannya secepat ini. Namun kita berpuas hati kerana sekurang-kurangnya dapat merealisasikan impian arwah untuk menaiki jet pejuang TUDM sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kita juga berterima kasih kepada pihak TUDM dengan kerjasama diberikan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan hasrat remaja berkenaan yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi menaiki pesawat pejuang TUDM direalisasikan Rabu lalu oleh TUDM menerusi 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan bantuan Kolej Tentera Udara dan FOCCAN.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button