Padah buang patung hiasan milik orang
Kulai: Padah melakukan khianat dengan mengambil dan membuang patung hiasan milik orang lain ke dalam tong sampah, seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin terhadap tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan air pancutan milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan hos paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah menyebabkan kerugian bernilai RM25.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai dekat sini, kira-kira jam 9 pagi, 15 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Gabriele Jungkak dalam rayuannya berkata, dia bertindak membuang patung hiasan itu kerana ia mengganggunya selain mendakwa pernah membuang serta membakar patung lain di kawasan lain.
Sharifah Maleeha bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya tidak mensia-siakan hidupnya selain belajar untuk hidup berjiran.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
METRO