Rangnick lega Man United layak ke Liga Europa
LONDON: Ralf Rangnick lega Manchester United kendaliannya layak ke saingan Liga Europa musim depan walaupun tewas 1-0 di tangan Crystal Palace pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini.
Rangnick menamatkan tugasnya sebagai pengendali sementara United dengan mengesahkan tempat di tangga keenam liga.
United kecundang menerusi jaringan bekas penyerang mereka Wilfried Zaha pada aksi di Selhurst Park yang turut disaksikan pengendali baharu mereka Erik ten Hag.
Kemenangan 3-1 Brighton ke atas West Ham membantu United layak ke liga kedua tertinggi Eropah itu apabila The Hammers terpaksa akur menamatkan saingan di tangga ketujuh.
Rangnick akan kekal di Old Trafford sebagai penasihat sambil turut melatih Austria apabila Ten Hag, yang membawa Ajax menjuarai liga Belanda, memulakan tugasnya.
“Saya rasa Brighton membantu kami walaupun mereka ketinggalan ketika rehat. Mereka meledak tiga kali di babak kedua dan ia perkara terbaik hujung minggu ini dan berkenaan perlawanan ini.
“Ia satu pengalaman baharu buat saya, bukan tentang masuk di pertengahan musim tetapi hadir sebagai pengendali sementara.
“Malangnya kami tidak mempunyai pra-musim dan tidak dapat memperkuatkan skuad,” kata Rangnick yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer selepas bekas bintang United itu dipecat pada November.
AFP