Vieira tuntut tingkat aspek keselamatan
LONDON: Pengendali Crystal Palace Patrick Vieira berkata dia bimbang tentang keselamatan dirinya dan pemain-pemain ketika insiden penyokong masuk ke padang di Everton.
Vieira dikerumuni penyokong Everton selepas wisel penamat di Goodison Park Khamis lalu yang menyaksikan tuan rumah bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menang 3-2 dan mengesahkan tempat di saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Ketika bekas pemain Perancis itu berjalan ke bilik persalinan, dia diganggu oleh penyokong Everton dan Vieira bertindak menendangnya sehingga terjatuh.
Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) dan polis Merseyside sedang menyiasat insiden berkenaan.
Vieira mengulas tentang insiden itu buat kali pertama selepas Palace menamatkan saingan musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United di Selhurst Park.
“Apabila anda lihat di Liga Perdana, banyak insiden menceroboh padang yang mampu mencetus masalah. Anda tidak akan tahu apa yang bakal terjadi.
“Apabila anda tidak tahu apa yang akan terjadi sudah pasti anda bimbang tentang keselamatan anda dan pemain-pemain. Sebagai jurulatih, pemain atau pegawai, kami mahu tempat kerja yang selamat.
“Saya rasa ia satu isu utama yang perlu ditangani FA dan Liga Perdana,” kata bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu.
Insiden terbaru membabitkan penyokong ialah ketika perlawanan antara Aston Villa dan Manchester City di Stadium Etihad malam tadi.
Pengendali Villa Steven Gerrard mendakwa penjaga golnya Robin Olsen diserang ketika penyokong Man City masuk ke padang sebaik tamat perlawanan untuk meraikan kejayaan pasukan mereka menjuarai liga.
Sama seperti di Goodison Park, penyokong masuk ke padang selepas gol kemenangan Ilkay Gundogan dan sekali lagi sebaik tamat perlawanan.
Seorang penyokong Nottingham Forest dipenjarakan minggu ini kerana menanduk kapten Sheffield United Billy Sharp selepas aksi separuh akhir playoff Liga Kejuaraan.
Satu lagi insiden berlaku di Port Vale pada Khamis, dengan pengendali Swindon Ben Garner mendakwa pemain-pemainnya diserang berikutan kekalahan mereka dalam aksi separuh akhir playoff liga divisyen empat.
AFP