Bekalan ayam masih kurang

Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan ayam masih berterusan walaupun ada dakwaan mengatakan bekalan kembali stabil.

Tinjauan di beberapa pasar utama di ibu kota juga mendapati peniaga masih dibelenggu dengan kekurangan bekalan sehingga mengganggu operasi perniagaan.

Peniaga pasar Chow Kit, Shahrul Mohd Saman berkata, hari ini hanya 50 ekor ayam yang diperoleh daripada pembekal berbanding 200 ekor sebelum ini.



Katanya, keadaan ini sudah berlarutan beberapa minggu lalu namun lebih kritikal sejak beberapa hari lalu.

“Bekalan ayam terhad kerana berkurangan lebih 50 peratus daripada tempahan yang dibuat kepada pembekal.

“Pembekal memaklumkan ayam dari ladang juga terhad kerana tidak cukup besar dan ada yang terkena penyakit,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, bekalan ayam yang terhad ini hanya mampu menampung sebahagian permintaan pelanggan pukal seperti restoran dan peniaga makanan.



Nada sama turut disuarakan Rosman Gunawan yang menyifatkan ini krisis bekalan paling kritikal sejak 10 tahun menjalankan perniagaan ini.

“Ayam yang diperoleh dari pengilang juga sudah naik harga dan margin yang kami peroleh sekitar 50 sen hingga RM1 untuk setiap kilogram.

“Kami juga tersepit jika terus jual pada harga siling kerana ayam yang dijual pembekal juga melebihi paras itu.

“Peniaga juga tersepit kerana perlu menanggung kos pekerja dan stor sejuk beku sedangkan hasil yang diperoleh sangat terhad,” katanya.



Semalam, kerajaan memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan mesyuarat Kabinet hari ini bagi menangani masalah bekalan serta harga ayam ketika ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button