Raikan Syawal bersama ibu selepas 24 tahun terpisah

Bangi: Selepas 24 tahun tidak beraya bersama, Feadylia Izati Abdul Karim akhirnya dapat meraikan Syawal tahun ini dengan ibu kandungnya, Nor Aspalilah Mohamed Yusoff.

Feadylia Izati, 31, tidak berseorangan sebaliknya datang menziarahi ibunya pada Syawal keenam lalu dengan ditemani suaminya, Muaaz Salih@Salleh, 33, dan anak mereka, Karissa Arsylea Muaaz yang kini berusia lima bulan.

Menurut Feadylia Izati yang menetap di Soutville City, di sini, ibunya tidak tahu mengenai hasratnya untuk bertandang kerana dia sengaja beri kejutan memandangkan sudah lama mereka tidak bersua.



“Ibu dan ayah berpisah ketika saya berusia tiga tahun jadi hanya sempat tinggal dengannya (ibu) sehingga bersekolah Tahun Satu saja. Bermula usia lapan tahun, saya dan adik sudah menetap dengan ayah memandangkan dia yang mendapat hak jagaan.

“Nenek (Jibah@Habibah Mohd Said) dan ibu saudara (Juwita Abu Samah, 43) yang tinggal bersama turut membesarkan kami jadi menumpang kasih dengan mereka terutama selepas ayah berkahwin lagi.

“Ada kalanya sedih juga apabila melihat orang lain bersama ibu bapa mereka, tidak bagi saya namun apa boleh buat, sudah takdirnya begitu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Feadylia Izati, sepanjang tinggal dengan bapanya yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu akibat diabetes, tidak sekali pun dia berpeluang beraya dengan ibu.



Dia tidak pasti apa sebabnya, namun mengakui pernah terkilan kerana berasa diri diabaikan oleh ibunya.

“Bukan tidak pernah jumpa langsung ibu sepanjang tinggal dengan ayah namun jarang sangat dan kali terakhir bertemu pun kira-kira dua tahun lalu.

“Ramadan lalu, nenek meninggal dunia namun sebelum pergi, arwah sempat berpesan supaya jangan putuskan silaturahim dengan ibu.

“Kebetulan saya baru melahirkan cahaya mata jadi tergerak hati untuk menziarahi ibu di Kampung Gajah, Perak sempena hari raya.



“Ibu memang terkejut kerana saya tidak memaklumkannya lebih awal dan menangis ketika menyambut kedatangan saya yang membawa bersama menantu dan cucunya,” katanya.

Feadylia Izati berkata, kelahiran cahaya mata juga yang menjentik hatinya untuk membuka lembaran baharu dengan ibunya.

“Kalau boleh, saya tidak mahu didik anak untuk keras hati dan sebab itu membawanya bertemu ibu supaya dia tahu siapa neneknya.

“Ikutkan, saya muat naik video pertemuan dengan ibu di TikTok untuk kenangan saja dan tak sangka pula ia akan tular dengan tontonan tinggi.



“Banyak komen positif namun ada juga kecaman diterima dengan menuduh saya anak derhaka serta tidak diterima ibadah kerana katanya mengabaikan ibu. Saya pilih abaikan saja kata negatif dan ambil yang positif saja,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button