3 budak mati lemas jatuh parit
KOTA KINABALU: Tindakan dua kanak-kanak cuba menyelamatkan seorang saudara mereka yang terjatuh ke dalam parit besar di Kampung Bunga Raya, Kepayan, di sini, berakhir tragedi apabila ketiga-tiga mereka disahkan lemas.
Tiga kanak-kanak perempuan warga asing berusia antara lima hingga 12 tahun itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) susulan kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, kedudukan lokasi kejadian agak terpencil dan jaraknya kira-kira 200 meter dari kawasan rumah di Kampung Bunga Raya.
Ketika kejadian, katanya, paras air di parit selebar lima meter dan itu pada kedalaman kira-kira dua meter berikutan air sedang pasang.
“Ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan keluarga dan tinggal berjiran di rumah setinggan di kampung berkenaan. Ketika kejadian, mereka sedang bermain di tebing parit berkenaan sebelum seorang tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam parit.
“Dua daripada mangsa kemudian cuba menyelamatkan mangsa pertama, namun disebabkan tidak pandai berenang, ketiga-tiga mereka terus lemas dalam parit berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, seorang remaja lelaki yang kebetulan berada di lokasi kejadian bertindak pantas menarik semua mangsa keluar dari parit sebelum tiga kanak-kanak itu dibawa ke hospital dengan ambulans dan kenderaan persendirian.
“Bagaimanapun, setiba di hospital, ketiga-tiga mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
BHOnline