Arteta puji semangat juang pemain Arsenal

Leeds: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji pasukan mudanya yang cemerlang ketika menang 1-0 di Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, walaupun menjadi ‘pasukan kedua terbaik’ pada sebahagian besar perlawanan.

Jaringan Bukayo Saka pada babak pertama memastikan kemenangan Arsenal dan mencipta permulaan terbaik dalam liga utama sepanjang zaman apabila kelab London itu kekal di tangga teratas, tetapi Leeds banyak kali mengancam untuk menafikan mata penuh buat mereka.

Leeds gagal menyempurnakan sepakan penalti dan sekali lagi dinafikan video bantuan pengadil (VAR), pada ketika Arsenal kekal mempertahankan kelebihan tipis itu, sekali gus menyaksikan kekalahan pertama anak buah Jesse Marsch di gelanggang sendiri, musim ini.



“Sibuk dan penat! Memang selalu tegang di sini,” kata Arteta kepada Sky Sports.

“Kami cemerlang pada babak pertama dan sepatutnya berada dua atau tiga gol di depan. Kredit kepada Leeds pada babak kedua, kami banyak membuat silap dan tidak mengekalkan momentum.

“Tetapi, saya suka melihat semangat juang tinggi dalam pasukan dan bagaimana kami mencari cara untuk menang. Ini sesuatu yang istimewa, ini bukan kebetulan, tetapi menunjukkan keinginan pemain untuk menang dan bersaing.

“Ramai pemain beraksi di Norway (menentang Bodo/Glimt pada aksi Liga Europa) lebih dua hari lalu, pulang ke sini pada Jumaat dan kami masih bersungguh-sungguh untuk menang.”



Perlawanan semalam ditangguhkan selama 38 minit kerana masalah bekalan elektrik di Elland Road yang menyebabkan masalah kepada sistem komunikasi pengadil dan Arteta gembira perlawanan ditangguhkan kerana VAR menafikan sepakan penalti buat Leeds.

Bek tengah Arsenal, Gabriel dibuang padang kerana menyepak penyerang Leeds, Patrick Bamford pada masa tambahan selepas penjaga garisan melihat insiden itu.

Tetapi pengadil, Chris Kavanagh menarik balik sepakan penalti dan kad merah yang diberikan selepas melihat semula ulang tayang.

“Saya tidak melihat situasi itu, tetapi semua orang menyatakan keputusan itu adalah jelas,” kata Arteta.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading