Pelarian Ukraine ‘bawa lari’ suami orang
London: Seorang pelarian Ukraine dituduh menjadi perosak rumah tangga selepas pemilik kediaman didiaminya di UK meninggalkan isteri untuk bersama-sama dengannya.
Metro UK melaporkan Sofiia Karkadym, 22, berpindah ke rumah Tony dan Lorna Garnett selepas mereka menawarkan untuk menaja penginapannya di UK.
Kira-kira 10 hari kemudian, pekerja teknologi maklumat (IT) berambut perang itu dituduh cuba merosakkan hubungan Tony dan Lorna.
Lorna sangat berang dan meminta Sofiia meninggalkan rumah keluarga Bradford.
Bagaimanapun, suaminya Tony berkata, dia akan turut angkat kaki, jika Sofiia pergi.
Tony dan Sofiia kini berpindah bersama ibu bapanya namun tiada apa yang berlaku antara pasangan itu sehingga mereka pergi bersama.
Sofiia melarikan diri dari Lviv kemudian ke Poland selepas kampung halamannya dimusnahkan oleh tentera Rusia.
“Kami tahu apa yang berlaku dan Tony memutuskan untuk ikut saya,” katanya.
Sofiia berkata, dia dituduh menghalang keluarga British daripada menerima pelarian Ukraine.
“Setiap keluarga UK kini akan berfikir ‘Saya tidak boleh menerima pelarian kerana dia akan merampas suami saya daripada saya’,” katanya.
Tony, 29, sebelum ini memberitahu The Sun bahawa dia dan Sofiia, serasi dan bergaul dengan baik serta-merta kerana dia boleh bertutur dalam bahasa Slovakia, yang serupa dengan bahasa Ukraine.
Dia juga berkata bahawa walaupun ada keserasian, hubungan mereka tidak lebih daripada itu.
Difahamkan, mereka mula mencari hartanah bersama dan memulakan proses untuk mendapatkan visa tetap untuk Sofiia.
METRO