‘Toyol’ curi kelapa sawit kian mengganas
Jempol: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu campur tangan termasuk mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit dalam urusan jual beli sawit tanpa permit.
Kewujudan pihak ketiga itu antara penyumbang kepada kegiatan mencuri tandan sawit susulan harga komoditi bahan mentah itu yang meningkat.
Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF) Mohamad Yahya Zakaria berkata, beberapa kejadian mencuri tandan sawit semakin kerap dilaporkan ketika ini.
Katanya, MPOB boleh mengambil tindakan terhadap penjual termasuk pembeli yang menjalankan urusan secara haram.
“Harga bagi satu tan sawit ketika ini mencecah RM1,450. Berikutan itu ada pencuri sanggup masuk ke dalam kebun bagi menuai buah pada waktu malam dan memunggah hasilnya menggunakan kereta.
“Biarpun ada yang memaklumkan kesukaran mengekang kecurian apatah lagi dengan keadaan ladang luas. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika semua pihak memainkan peranan.
“Kami berharap Felda ada kaedahnya tersendiri dalam mengekang aktiviti kecurian ini terutama di ladang yang diuruskan Felda,” katanya semalam.
Mohammad Yahya berkata, dia menyambut baik apabila media turut melaporkan berita berkaitan kejadian mencuri sawit sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang ramai.
METRO