Parlimen dijangka bubar Jun, PRU15 Ogos
Oleh – Amran Klebang
Tular hari ini satu ciapan dalam twitter menunjukkan tarikh yang dijangkakan berlaku Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15). Bagaimanapun, pemerhati politik Malaysia berpendapat tarikh PRU15 adalah antara Jun atau Julai 2022.
Ini berdasarkan beberapa kejutan yang telah berlaku dan bakal berlaku dalam politik negara.
Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang memulakan kejutan apabila bertindak keluar dari BERSATU. Spekulasi akan ada beberapa orang Ahli Parlimen akan mengikut jejak Zuraida turut diakui oleh Wan Saiful.
Kontroversi kedudukan jawatan Zuraida telah memberi kesan terhadap BERSATU bilamana Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri menyatakan Zuraida masih lagi Menteri Kabinet.
JUN ATAU JULAI UMUM BUBAR, PRU15 PADA OGOS AKAN BERI RUANG PEMULIHAN EKONOMI MALAYSIA
BERSATU, menerusi kenyataan Setiausaha Agung dan Ketua ARMADA membuat konklusi hanya Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin berhak menetukan siapa akan mengambil tempat Zuraida sebagai Menteri.
Wan Ahmad Faysal menyatakan jawatan Menteri yang disandang Zuraida adalah kuota BERSATU dan mahu ia dikembalikan kepada mereka.
Lebih mengejutkan, spekulasi Menteri Belia dan Sukan, Dato Seri Faizal Azumu dikatakan akan dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini berikutan spekulasi jawatan tersebut akan diisi Dato Seri Utama Mohamad Hj Hasan.
Malah, nama Muhyiddin Yassin juga dikatakan tersenarai untuk dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Setakat ini, Muhyiddin masih kekal sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
JANGKAAN INFLASI NAIK MENGGUGAT KESTABILAN EKONOMI NEGARA, JEJAS MINAT PELABUR LUAR
Pemerhati politik juga berpendapat, krisis kenaikan harga keperluan juga akan memberi tekanan terhadap keperluan membubarkan Parlimen pada kadar segera.
Menteri yang dilantik pula kelihatan tidak memberi solusi atau alternatif yang berkesan bagi menangani kenaikan kos serta harga barang keperluan menyebabkan rakyat sudah mulai hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Bagi rakyat, sekiranya keadaan ini berterusan, apa gunanya ada sebuah kerajaan yang hanya megah pada nama? Rakyat berpendapat, lebih baik mereka memberi mandat baru membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan mampu menjamin kesejahteraan ekonomi negara.
REKOD KERAJAAN SEJAK MEI 2018 ‘MEROSAKKAN’ NAMA BAIK MALAYSIA DI MATA DUNIA
Tidak boleh dinafikan, sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan, suasana harmoni dan ketenangan politik berubah. Konflik dalaman PH serta kelemahan pengalaman mengurus negara menyebabkan nama baik Malaysia di mata dunia rosak.
Perebutan kuasa antara gabungan Pakatan Harapan menyaksikan Kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah. Persefahaman politik antara Umno/Barisan Nasional, BERSATU, PAS, GRS, GPS Gerakan mengangkat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8.
Maka, tertubuhlah Kerajaan Perikatan Nasional, namun ia hanya bertahan selama 17 bulan. Namun demikian, nama serta imej Malaysia tidak bertambah baik di tangan Muhyiddin.
Selepas Muhyiddin berundur, tampuk pemerintahan kini disandang oleh Ismail Sabri selepas mendapat persetujuan UMNO dan parti politik yang lain.
PERDANA MENTERI PERLU TEGAS DAN TIDAK TUNDUK DENGAN UGUTAN SERTA ANCAMAN POLITIK
Kerajaan campuran ini dikenali sebagai Keluarga Malaysia. Ismail yang membawa nama UMNO, berusaha untuk mengembalikan nama baik Malaysia di mata dunia, namun masih belum cukup kerana pembentukan kerajaan campuran telah menyebabkan keadaan yang agak kurang stabil.
Ismail Sabri perlu menimbang semua kebarangkalian serta perkembangan untuk membubarkan Parlimen jika enggan lagi menerima tekanan terutama daripada BERSATU.
MoU antara Kerajaan dan Pembangkang juga akan tamat pada Jun dan ini boleh memberi implikasi buruk sekiranya diteruskan. Pembangkang, malah pihak lain juga akan terus mengambil kesempatan menggugut Perdana Menteri setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.
PENAFIAN – ARTIKEL INI MERUPAKAN PANDANGAN PENULIS DAN TIADA KAITAN DAN TIDAK MEWAKILI PIHAK KAMI. SEBARANG KOMEN ADALAH TANGGUNGJAWAB SENDIRI.