Real sudah lupakan Mbappe

Paris: Presiden Real Madrid, Florentino Perez menegaskan bahawa penyerang Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe tidak lagi berada dalam perancangan kelab itu ketika mereka meraikan kejuaraan Piala Eropah ke-14 selepas mengatasi Liverpool di Paris, awal pagi tadi.

Mbappe secara meluas diperkatakan akan berhijrah ke ibu kota Sepanyol itu tetapi akhirnya menandatangani lanjutan kontrak bersama PSG sehingga 2025, keputusan yang menimbulkan kemarahan peminat Real.

“Real Madrid akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan pemain terbaik, tetapi hari ini Mbappe sudah pun dilupakan,” kata Perez kepada pemberita selepas jaringan tunggal Vinicius Junior memberikan mereka kemenangan 1-0.



“Tiada apa-apa yang berlaku, Real Madrid mempunyai musim yang sempurna dan isu itu (perpindahan Mbappe) sudah dilupakan. Hanya ada parti di Real Madrid.”

Keputusan Mbappe untuk kekal di juara Perancis itu mencetuskan ketegangan selepas Presiden LaLiga, Javier Tebas berkata mereka akan memfailkan aduan terhadap PSG kepada UEFA kerana perjanjian itu ‘mengancam kestabilan ekonomi’ bola sepak Eropah.

Presiden Ligue 1, Vincent Labrune kemudian membalas penghinaan Tebas terhadap Liga Perancis dan barisan pemain tidak boleh diterima.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button