Hari pertama PJKM catat jualan hampir RM60,000

Kuala Nerus: Hari pertama pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) semalam, mendapat sambutan hangat dengan mencatatkan hasil jualan hampir RM60,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, jumlah kehadiran direkodkan ke PJKM semalam pula ialah hampir 4,000 pengunjung.

“Jualan ini memfokuskan kepada kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga. Justeru, pengguna disaran mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan potongan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa,” katanya kepada Bernama, hari ini.



Katanya, antara barangan dijual sepanjang PJKM berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok ialah daging segar, ayam, ikan sejuk beku, telur, minyak masak paket, beras, gula dan sayur-sayuran.

Rata-rata pengunjung juga menyambut baik program itu dan mengakui harga barangan dijual adalah berpatutan serta sangat membantu meringankan beban kewangan mereka.

Suri rumah, Hazimah Mohd, 51, berkata, dia datang ke program itu kerana terdapat pelbagai promosi termasuk diskaun harga jualan bagi barangan keperluan.

“Saya buat senarai apa yang hendak dibeli kerana perlu merancang dengan bijak untuk berjimat cermat. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan rakyat dan program ini antara yang bagus untuk diperluaskan lagi,” katanya yang datang dari Manir.



Seorang kakitangan swasta, Hidayah Aisyah Nordin, 41, pula berkata, dia selalu membeli barangan di PJKM yang sering dianjurkan di sekitar Terengganu kerana harga ditawarkan sangat berbaloi.

“Sekarang ni, semuanya serba mahal, jadi kita kena pandai berbelanja dan urus kewangan bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’. Macam saya, memang akan beli barang untuk kegunaan setiap dua minggu dan pastikan penjimatan itu dapat digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Pelaksanaan PJKM kali ini membabitkan lebih banyak penyertaan daripada agensi kerajaan serta pemain industri seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Koperasi Usahawan Darul Iman, Koperasi Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Pasaraya Sabasun, MDM Blue Ocean, Pok Awang Agro Farm Empire, Kemamang Pine, Qaseh Aiyaa dan SBA Maju Resources.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button