Mangsa banjir di Gurun meningkat kepada 910

Gurun: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, terus meningkat sehingga mencecah 910 mangsa daripada 219 keluarga, hari ini.

Peningkatan ini berbeza berbanding 541 mangsa daripada 137 keluarga yang dilaporkan 9 malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, jumlah keseluruhan mangsa itu membabitkan 11 kampung dan tiga taman perumahan di kawasan itu.

Beliau berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Sungai Ibor, Kampung Jelatang, Kampung Batu 5, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Bongkok, Kampung Guar Nenas, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Batu 21.

“Selain itu, Kampung Masjid Lama Pekan Atap, Kampung Pulau Cengal, Taman Gurun Jaya, Taman Gurun Indah dan Taman Sri Jerai.

“Kesemua mereka dipindahkan ke dua PPS iaitu Surau Kampung Sungai Bongkok iaitu 291 mangsa daripada 70 keluarga, dan di Masjid Pekan Gurun iaitu seramai 619 mangsa daripada 149 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, kedua-dua PPS itu masing-masing dibuka sejak jam 10.37 pagi dan 12.29 tengah hari semalam.

Dalam kejadian 4.23 pagi semalam, paras air Sungai Bongkok meningkat berikutan hujan lebat yang melanda kawasan itu hampir tiga jam.

Berikutan itu, beberapa kawasan di situ ditenggelami air setinggi 0.3 meter (m) hingga 0.9 m menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke dua PPS yang dibuka semalam.

METRO

Leave a Reply