Kamal Adli, Uqasha mengaku semakin menikmati kebahagiaan
SELEPAS hampir enam bulan bergelar isteri kepada pelakon Kamal Adli, Uqasha Senrose mengaku semakin menikmati kebahagiaan dalam hidup.
Biarpun kehidupan dilalui ketika ini berubah 360 darjah, namun Uqasha tidak berdepan sebarang kesukaran untuk memegang tanggungjawab sebagai isteri.
“Sudah tentulah tanggungjawab sekarang semakin besar, lebih-lebih selepas bergelar isteri. Saya perlu memastikan Kamal berada dalam keadaan yang baik selain perlu menjaga makan dan minumnya.
“Kalau dulu pembantu peribadi yang sediakan apa yang saya perlukan, tapi sekarang ini saya pula kena buatkan untuk orang lain. Tapi sebenarnya saya okey saja sebab sebelum ini pun saya jaga adik-adik saya.
“Tipulah kalau tidak rasa kekok apabila sudah bergelar isteri. Kami baru berkahwin lebih kurang enam bulan dan banyak hal yang perlu kami sesuaikan.
“Sebagai contoh, kalau saya nak pergi mana-mana kena berdua dengannya atau minta keizinan terlebih dulu. Saya rasa itu saja yang perlu saya sesuaikan sekarang ini, manakala hal lain kami sudah faham antara satu sama lain,” katanya.
Ditanya adakah dia berdepan kesukaran untuk menjaga Kamal, Uqasha berkata, suaminya adalah individu yang paling mudah untuk diuruskan. “Jujur cakap memang tak susah nak jaga Kamal. Dia juga individu yang tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya kalau perkara itu dia boleh lakukan sendiri, dia akan uruskan.
“Malah kalau dia nampak saya tengah melakukan sesuatu, dia akan membantu saya. Alhamdulillah kami saling bertolak-ansur dan tidak berkira dalam segala hal,” katanya.
Belum ada rezeki hamil
Menyentuh mengenai pertanyaan dan persoalan orang ramai mengenai adakah dia sudah berbadan dua, Uqasha mengakui belum ada rezeki kerana kesibukan kerja yang tidak berhenti sejak awal tahun ini.
“Betul, ramai sangat yang bertanya adakah saya sudah ada isi (hamil). Sebenarnya saya belum hamil cuma berat badan yang naik.
“Kalau isi betul-betul dalam perut belum ada rezeki lagi. Lagipun saya belum ada cuti yang panjang sebab dari awal tahun sehingga sekarang sibuk dengan penggambaran.
“Orang kata kalau rancang nak ada anak kena dapatkan rehat yang cukup dan tak boleh tertekan, jadi sekarang ini bukan waktu yang sesuai sebab selepas ini pun ada satu lagi penggambaran drama yang perlu saya selesaikan,” katanya.
Bercerita mengenai drama Setelah Terlafaznya Akad musim kedua yang baru bersiaran di Astro Ria, Uqasha berkata, antara sebab utama dia bersetuju untuk terbabit dalam musim kedua kerana mempunyai cerita indah di sebaliknya.
“Drama inilah yang menyatukan saya dan Kamal sebagai suami isteri. Selain itu, saya juga selesa bekerja dengan pengarah drama ini iaitu Michael Ang.
“Lagipun jalan cerita untuk musim kedua ini sangat menarik dan saya tidak fikir panjang untuk terbabit dalam musim kedua ini.
“Saya juga difahamkan musim pertama drama ini mendapat sambutan yang sangat baik, jadi saya berharap drama ini akan menjadi fenomena sekali lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Uqasha berkata, selepas selesai sesi penggambaran drama Setelah Terlafaznya Akad musim kedua pada 6 Jun ini, dia dan Kamal bakal terbabit dengan satu lagi drama bersiri.
“Kali ini saya akan bekerjasama dengan Siti Rosmizah. Saya dimaklumkan naskhah kali ini akan menjalani penggambaran di luar negara,” katanya.
METRO