Larangan generasi muda merokok
Ketagihan didefinisikan sebagai kebergantungan kepada sesuatu jenis bahan atau aktiviti.
Dari sudut neuropsikologi, ciri utama ketagihan adalah penggunaan berterusan bahan terbabit atau penerusan tabiat tertentu walaupun menyedari akibat yang menjejaskan kesihatan atau kesejahteraan.
Ketagihan juga sering dikaitkan dengan tingkah laku kompulsif bagi memperoleh bahan atau terbabit, tahap toleransi yang semakin meningkat dengan penggunaan dan timbulnya gejala penarikan apabila penggunaan dihentikan.
Bahan yang boleh menyebabkan ketagihan termasuk dadah terlarang (heroin, kokain), alkohol, ubat barbiturat (ubat tidur) dan nikotin dalam rokok.
Antara tabiat yang boleh menimbulkan masalah ketagihan pula termasuk penggunaan media sosial, membeli-belah dan pemakanan.
Selain itu, nikotin yang disedut melalui asap rokok adalah punca utama ketagihan dalam kalangan perokok tegar.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati prevalens merokok di Malaysia adalah sebanyak 21.3 peratus.
Dalam otak manusia, nikotin merangsang reseptor sehingga membebaskan sebatian dopamin.
Dopamin melatih otak kita agar mengulangi tingkah laku pengambilan (iaitu pengukuhan tingkah laku) sehingga akhirnya menimbulkan kebergantungan.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan akan memperkenalkan akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
Polisi itu juga dikenali sebagai Generational End Game (Generasi Penamat, GEG).
Langkah itu diambil bagi mengurangkan pendedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.
Profesor Psikiatri Ketua Sekolah Klinikal, MAHSA University, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berpendapat dalam konteks kesihatan awam, intipati konsep End Game adalah ia diamalkan di penghujung sesuatu turutan langkah bagi mempercepatkan pencapaian matlamat.
Mungkin ada dalam kalangan kalian yang pernah dengar strategi Polio End Game 2019-2023 yang membabitkan langkah terakhir bagi membasmi wabak polio ke arah masa depan bebas penyakit polio.
Dalam konteks prevalens merokok yang tinggi di Malaysia, timbul keraguan polisi larangan produk tembakau dalam bentuk GEG seperti diumumkan oleh Khairy ini adalah tepat masanya.
Adakah kerajaan sudah memaksimumkan kesemua inisiatif kawalan tembakau di negara kita? Adakah kempen kesedaran kemudaratan merokok berkesan dilaksanakan sebagai kaedah pengajaran generasi muda di Malaysia?
Paling kritikal, dengan pembekalan rokok haram antara tertinggi di dunia, remaja yang sudah memulakan tabiat merokok akan beralih kepada pasaran produk haram pula.
Selain itu, akta baharu GEG tidak akan mencegah perokok dewasa sebagai perantara yang membekalkan produk tembakau kepada generasi muda.
Sebaliknya, akan timbul kaedah lebih kreatif dalam perdagangan produk tembakau selepas ini, misalan perdagangan rokok oleh perantara daripada generasi dewasa.
Justeru, setiap polisi perlulah bersandarkan kajian saintifik dan aktiviti terbabit perlu dilakukan setiap masa bagi menentukan keberkesanan polisi terbabit.
Misalnya, harm reduction atau pengurangan kemudaratan ke atas bahan tembakau yang sedang rancak dijalankan untuk mencegah perokok dari terus merokok.
Program seperti ini boleh dijadikan sebagai kajian penting bagi menentukan polisi end game benar-benar mencapai sasaran.
Mengambil contoh negara New Zealand, program kawalan tembakau bermula sejak 1984 dengan pelbagai strategi diperkenalkan bagi mengawal permintaan (demand) dalam kalangan rakyat.
Strategi ini adalah antara yang paling ketat di dunia termasuk peningkatan harga runcit rokok dan penyeragaman bungkusan pek rokok.
Selain itu, kerajaan New Zealand giat mendidik orang awam terutamanya kaum muda mengenai kemudaratan merokok melalui kempen seperti Smoking Not Our Future dan Stop Before You Start.
Kesannya, kadar perokok dewasa di negara itu berkurang daripada kira-kira 30 peratus pada 1984 kepada hanya 13 peratus pada 2019. Kadar perokok remaja pada setiap tahun pula hanya sekadar lima peratus.
Berdasarkan tren penurunan berterusan kadar perokok, barulah kerajaan New Zealand melancarkan pelan Smokefree 2025 ke arah matlamat penurunan kadar perokok kepada lima peratus atau kurang menjelang tahun 2025.
Berbeza dengan pelan GEG Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sekali gus menyekat segala penggunaan produk tembakau dalam kalangan golongan muda yang lahir selepas 1 Januari 2005, wawasan GEG di New Zealand akan dilaksanakan melalui beberapa tahap.
Tahap-tahap ini berkaitan pengurangan bekalan (penjualan rokok), pengurangan ketagihan rokok bernikotin. Manakala tahap terakhir barulah merangkumi promosi Smokefree Generation bermula tahun 2027.
Selain itu, pelan KKM turut tidak akan membenarkan kesemua jenis produk tembakau rokok, vape dan lain-lain.
Tetapi New Zealand membenarkan penggunaan berterusan produk alternatif seperti vape yang diakui lebih selamat berbanding rokok.
Ini kerana vape tidak membabitkan pembakaran tembakau yang membebaskan bahan kimia yang menyebabkan penyakit jantung, paru-paru dan kanser kepada perokok.
Kerajaan New Zealand juga mengakui kenyataan bahawa walaupun nikotin boleh menyebabkan ketagihan, bahan toksik yang dibebaskan akibat pembakaran rokok adalah penyebab pelbagai penyakit.
Seperkara lagi, larangan menyeluruh di Malaysia mungkin susah dilaksanakan secara praktik kerana kadar rokok haram di negara ini jauh lebih tinggi berbanding negara seperti New Zealand.
Kita sering baca berita membabitkan serbuan dan tangkapan pihak berkuasa berkaitan rokok haram.
Walaupun kerajaan Malaysia tidak membenarkan penjualan rokok kepada golongan muda bermula tahun hadapan (2023), pasaran gelap akan terus membekal kepada golongan tersebut.
Cabaran utama dalam kalangan penagih adalah pemberhentian mutlak bahan atau aktiviti ketagihan. Tambahan pula, golongan muda masa kini pantang ‘diarah’ melakukan atau menghindari sesuatu perbuatan.
Justeru, kerajaan harus menumpukan perhatian ke arah pendidikan berterusan generasi muda supaya mereka sedar dan pilih gaya hidup ke arah kesihatan mental dan fizikal yang optimum.
Untuk mencapai tujuan ini, kita juga perlu mencari alternatif pengambilan tembakau seperti kaedah rokok elektronik atau smokeless cigarette yang sudah pun berada di pasaran bagi menggantikan rokok konvensional.
Kementerian perlu memberi sokongan untuk saintis dan akademik menjalankan kajian penggunaan bahan tersebut yang boleh menghuraikan beberapa isu seperti keberkesanannya mengurangkan masalah kesihatan, mengurangkan kebergantungan atau penagihan dan menjadi pemangkin agar penagih rokok akhirnya berhenti merokok.