Program Murobbi serampang 2 mata

TALI persaudaraan sesama Muslim adalah parameter utama yang menjadi kayu pengukur awal kepada keimanan dan kesepakatan umat Islam.

Namun, kebelakangan ini perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan menjadi duri dalam daging yang mencalar keindahan agama yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Memburukkan keadaan, seakan sudah menjadi trend apabila segelintir golongan ilmuan dan agamawan turut terjebak bertelagah menegakkan pendapat masing-masing di pelbagai platform media sosial.



Rentetan daripada permasalahan ini, TV AlHijrah tampil menerbitkan sebuah rancangan bertajuk Murobbi.

Murobbi adalah sebuah program berbentuk tazkirah jiwa yang disampaikan oleh Mualim kepada sekumpulan penonton dalam kalangan agamawan.

Rancangan ini disiarkan selama lapan episod pada setiap Selasa, jam 9 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, program Murobbi adalah teguran lembut buat segelintir golongan ilmuan dan agamawan yang kadang-kadang tergelincir lalu bertelagah menegakkan pendirian dan fahaman masing-masing terhadap isu-isu agama.



“Kami mahu menonjolkan bahawa setiap pemasalahan agama haruslah dibincangkan secara perdebatan ilmiah dan bukanlah secara perbalahan terutamanya di platform media sosial. Ini adalah cara terbaik untuk meraikan kepelbagaian ilmu dan pendapat.

“Paling istimewa, rancangan ini mencipta kelainan apabila kita tampilkan barisan ilmuan dan agamawan sebagai penonton rancangan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan yang menjadi lokasi set penggambaran,” katanya.

Murobbi yang dihoskan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari dan Ustaz Azhar Ghazali menampilkan barisan Mualim yang dihormati seperti Ustaz Muhadir Joll, Habib Najmuddin Othman Al- Khered, Syeikh Nazrul Abdul Nasir, Dr Muhammad Yusri Mazlan dan ramai lagi.

Namanzee berkata, tajuk perbincangan seperti Pembimbing Hati, Ilmu dan Akhlak, Taksub vs Hormat, Ilmu dan Ulama, Masyhur di Dunia, Hina di Akhirat dan banyak lagi topik bermanfaat yang lain.



“Saya berkeyakinan, Murobbi adalah misi serampang dua mata. Pertamanya, rancangan ini mendidik agamawan secara langsung mengenai kaedah menjadi Murobbi produktif serta menjadi ikon buat mutarabbi.

“Kedua, secara tidak langsung ia turut mendedahkan penonton di rumah untuk mempelajari penyatuan jiwa ukhwah Islamiah serta mengelakkan perpecahan ketaksuban terhadap agamawan yang mereka lebih cenderung.

“Di akhir setiap episod rancangan, kita mahu penonton tidak menjauhi agama Islam serta yakin kepada kredibiliti serta ketinggian ilmu agamawan negara. Pada masa yang sama, para asatizah pula akan sama-sama menyebarkan kebaikan buat manusia dan menjauhkan kemudaratan baik dalam urusan agama mahupun keduniaan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button