Jerman jadi penanda aras England
Munich, Jerman: Pengendali England, Gareth Southgate berkata Jerman masih kekal sebagai penanda aras untuk England ketika beliau sedang mempersiapkan pasukannya untuk pertembungan Liga Negara-Negara di Munich awal pagi esok.
England kini sedang berusaha untuk bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Hungary apabila turun menentang pemenang Piala Dunia empat kali di Munich.
Anak buah Southgate menewaskan seteru utama mereka itu pada pusingan 16 terbaik di Euro 2020 tahun lalu dan berharap dapat mengulangi kejayaan itu sekali lagi.
Namun Jerman masih belum pernah tewas sejak 10 perlawanan lalu di bawah kendalian pengendali baru Hansi Flick yang mengambil alih tugas Joachim Loew selepas tamatnya Kejohanan Eropah.
Pengendali England pada pada sidang media pra-perlawanan memaklumkan, perlawanan itu akan menjadi ‘ujian terbaik’ untuk pasukannya, yang tewas di separuh akhir Piala Dunia 2018 dan tewas kepada Itali menerusi sepakan penalti di perlawanan akhir Euro 2020.
“Bagi saya, Jerman dan Brazil masih menjadi penanda aras dari segi negara yang kerap memenangi kejohanan secara konsisten,” kata Southgate.
“Biarpun semua orang bercakap mengenai 5-1 (England menang pada 2001) di sini, mereka berakhir di final Piala Dunia selepas selepas kempen kelayakan itu.
“Jadi anda perlu menghormati apa yang pernah mereka lakukan sebagai sebuah negara dan siapa mereka sebagai sebuah negara dari segi bola sepak dan mentaliti itu yang kami cuba cipta.
“Kami perlu terus mara ke peringkat akhir pertandingan dan perlawanan seperti esok adalah sesuatu yang bagus untuk kami. Itulah jenis ujian yang kami perlukan.”
Sementara itu Southgate memuji keputusan kedua-dua pasukan untuk berlutut perlawanan sebagai tindakan menentang perkauman.
England sebelum ini berdepan kekalahan mengejut tewas kepada Hungary di Budapest 0-1.
METRO