Kane selamatkan England di Munich

MUNICH: Kapten England Harry Kane menjaringkan gol antarabangsa ke-50 dirinya dengan menyempurnakan sepakan penalti di Munich untuk mengikat Jerman 1-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

Jerman membuka jaringan menerusi Jonas Hofmann di Allianz Arena, tetapi Kane menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki dua minit.

Pertahanan Jerman Nico Schlotterbeck terlanggar Kane di dalam kotak dan pengadil memberikan sepakan penalti kepada England selepas melihat ulang tayang VAR.



Penyerang Tottenham itu kini hanya tiga gol di belakang penjaring terbanyak England – Wayne Rooney – mengatasi Bobby Charlton yang sebelum ini terikat dengan Kane pada 49 gol.

“Ia perasaan yang indah sekali. Saya mempunyai beberapa peluang awal dan terasa seperti ia mungkin harinya.

“Saya gembira mendapat gol ini dan malangnya kami tidak pulang dengan kemenangan,” kata Kane yang menyaksikan percubaan awalnya dinafikan penjaga gol Manuel Neuer.

England kendalian Gareth Southgate kekal di tangga tercorot Kumpulan A3 selepas tewas 1-0 di tangan Hungary di Budapest Sabtu lalu.



Jerman, yang akan bertandang ke Hungary Sabtu ini, satu mata di atas mereka di tangga ketiga dengan pengendalinya Hansi Flick melebarkan deretan tanpa kalahnya kepada 11 perlawanan, bermula sejak September tahun lalu.

Jerman, yang menyarung jersi skuad wanita kebangsaan mereka sebagai tanda sokongan menjelang Euro wanita bulan depan, dua kali membolosi England di babak pertama tetapi jaringan Thomas Mueller dan Hofmann tidak dikira kerana di luar permainan serta ofsaid.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button