Lelaki tolak wanita ke landasan kereta api

New York: Polis New York City menahan seorang lelaki semalam disyaki menolak seorang wanita ke landasan di stesen kereta api bawah tanah Bronx.

Ia kejadian terbaru dalam rentetan jenayah kekerasan di salah satu sistem transit terbesar di dunia.

Polis berkata, mereka menahan Theodore Ellis, 30, berasal dari Bronx selepas menerima petunjuk.



Jabatan Polis New York berkongsi video kejadian menunjukkan seorang lelaki berjalan di belakang seorang wanita, merangkulnya dan menghumbannya ke atas platform landasan arah selatan pada petang Ahad, di stesen Jackson Avenue.

Wanita itu dimasukkan ke hospital dalam keadaan stabil, kata jurucakap polis.

Media tempatan melaporkan, orang ramai membantu wanita itu keluar dari landasan sebelum kereta api tiba, dan dia mengalami patah tulang selangka dan luka.

Ganjaran AS$3,500 (RM15,375) ditawarkan untuk maklumat yang membawa kepada penahanan penyerang.



Polis menahan Ellis atas tuduhan menyerang secara melulu dan membahayakan.

Ellis tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen dan tidak jelas sama ada dia mempunyai peguam.

Terdapat lebih 3 juta penumpang setiap hari yang menggunakan kereta api bawah tanah di bandar ini, di mana jenayah serius masih jarang berlaku, walaupun jumlahnya semakin meningkat tahun ini.

Terdapat 743 jenayah membabitkan kereta api bawah tanah itu menjelang akhir April berbanding 452 bagi tempoh yang sama tahun lalu.



Awal tahun ini, Gabenor New York, Kathy Hochul dan Datuk Bandar, Eric Adams berikrar untuk meningkatkan rondaan polis selepas jumlah bilangan penumpang yang luar biasa ditolak ke landasan kereta api bawah tanah.

Pada April, seorang lelaki menembak penumpang di dalam kereta api bawah tanah di Brooklyn menyebabkan 10 cedera.

Frank James ditahan kira-kira 30 jam kemudian di Manhattan, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan keganasan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button