‘Joe Ferrari’ dipenjara seumur hidup
Bangkok: Seorang polis Thailand yang digelar ‘Joe Ferrari’ dipenjara seumur hidup kerana mendera seorang suspek kes dadah hingga mati ketika proses soal siasat.
Mahkamah di Bangkok mendapati Thitisan Utthanaphon bersalah kerana membunuh dengan melakukan seksaan sehingga menyebabkan kemarahan orang ramai, dan menunjukkan kezaliman polis dan rasuah di dalam pasukan keselamatan itu.
Rakaman video yang tular menunjukkan Thitisan dan enam pegawai lain membungkus tujuh beg plastik di kepala Jirapong Thanapat, 24, ketika melakukan soal siasat dan cuba memeras ugut AS$60,000 (RM263,690) yang membawa kepada kematian mangsa.
Hakim di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku Bangkok menjatuhkan hukuman mati Thitisan yang berusia 41 tahun itu tetapi segera menukarnya kepada penjara seumur hidup.
“Saya berasa tidak berdaya ketika keputusan itu, dan isteri saya menangis.
“Ketujuh-tujuh pegawai itu harus belajar dan mengambil pengajaran atas jenayah yang mereka lakukan,” kata Jakkrit Klandi, bapa mangsa di luar mahkamah.
Mahkamah mengurangkan hukuman Thitisan kepada penjara seumur hidup kerana dia cuba membantu memberi bantuan kecemasan kepada suspek berkenaan dan membayar perbelanjaan pengebumian untuk keluarga itu.
Tetapi ibu Jirapong, Penh Thanapat tetap tidak berpuas hati dan memberitahu wartawan, dia tidak mahu melihat wajah Thitisan.
“Saya mahu (hukuman mati). Saya mahu perkara berlaku kepadanya seperti yang berlaku kepada anak saya,” katanya.
Thitisan kelihatan sihat dan dilihat bergelak ketawa dengan pengawal di dalam bilik mahkamah sebelum keputusan itu, tetapi menutup matanya ketika hukuman dibacakan.
Lima daripada enam pegawai lain yang terbabit dalam kes itu didapati bersalah membunuh dan turut menerima hukuman penjara seumur hidup.
Suspek ketujuh pula dihukum lima tahun dan empat bulan penjara selepas memberikan keterangan.
Thitisan dan pegawai lain mempunyai tempoh sebulan untuk merayu terhadap keputusan itu, menurut peguam mereka.
METRO