Bella ‘disuap’ nasi goreng cili
Kuala Lumpur: Remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella disuap secara paksa sepinggan nasi goreng bersama jumlah cili yang banyak oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Pendedahan itu dibuat saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Menurut Suhana, tindakan Siti Bainun itu dilihat ketika bersama beberapa penghuni berada di Rumah Bonda untuk makan tengah hari.
“Saya nampak Siti Bainun letak sepinggan nasi goreng dan cili dipotong yang pada saya nisbah cili tu banyak berbanding nasi.
“Dia (Siti Bainun) gaul dan nampk dia pegang dagu Bella untuk suapkan Bella…Bella mengelak tapi terpaksa makan sebab dipaksa..Dalam hati saya kenapa jadi macam ini?.
“Saya terkejut tapi tidak cakap apa-apa sebab tidak mahu ada tegur dengan Siti Bainun pada waktu itu sebab bimbang dan tak pasti reaksi dia (Siti Bainun),” katanya dalam sesi pemeriksaan utama, hari ini.
Dalam sesi sama, Suhana memaklumkan dia melihat keadaan Bella yang tidak terurus dengan kesan lebam pada muka remaja itu ketika datang ke Rumah Bonda pada 13 Jun 2021 selepas diajak Siti Bainun untuk makan ‘king crab’.
Beliau berkata, ketika tiba jam 5 petang di rumah berkenaan, dia terkejut apabila nampak rambut Bella sudah dipotong pendek dengan potongan tidak kemas.
“Saya nampak bahagian kanan muka Bella ada lebam sebesar tapak tangan dari atas kening hingga bawah mata.
“Muka Bella ketakutan sangat dan ini adalah keadaan Bella paling teruk, rambut ‘tobek’ dan berbaju lengan panjang. Ketika itu saya agak emosional dan ada bertanyakan kepada Siti Bainun kenapa teruk sangat keadaan Bella.
“Siti Bainun memaklumkan Bella bergaduh (dengan penghuni lain) dan hanya letak ubat sendiri tanpa bawa ke klinik.
“Dalam hati saya dah marah…saya tidak tanya lebih lanjut sebab tidak mahu bergaduh…saya nampak Bella beberapa kali dan dalam hati saya kata ini tidak betul..saya rasa marah dengan keadaan Bella,” katanya.
Suhana juga memaklumkan dia dan beberapa rakan rapat dengan Siti Bainun mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan Bella kerana bimbang remaja itu akan disorok selain mereka tidak lagi boleh bertemu.
Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
METRO