Jangan pandang Bangladesh sebelah mata – Pan Gon
KUALA LUMPUR: Jangan ambil mudah kemampuan Bangladesh!
Itu amaran ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelang aksi hidup mati Harimau Malaya berdepan Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Meskipun Bangladesh berada di kedudukan lebih bawah dari Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan tewas dalam semua dua perlawanan Kumpulan E, namun Pan Gon tetap menganggap skuad kendalian Javier Fernandez itu adalah lawan yang sukar.
Justeru, dia menjelaskan barisan pemain Harimau Malaya perlu lebih berwaspada dalam menjayakan misi penting iaitu wajib menang selain pada masa yang sama harus mengelak kejutan dilakar Bangladesh.
“Saya tak tahu sejarah (pertembungan Malaysia dan Bangladesh) sebelum ini dan hanya membuat penilaian ketika Bangladesh berdepan Bahrain dan Turkmenistan, saya fikir mereka pasukan yang bagus.
“Kami sangat menghormati pasukan Bangladesh, tapi kami masih yakin sepenuhnya bahawa pemain kami dapat memberikan aksi yang terbaik.
“Bangladesh pasukan yang sangat kuat buat kami, jadi saya fikir kami perlu melakukan persiapan yang rapi dari segi taktikal, teknikal, mental dan strategi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Jika mengambil kira kedudukan Bangladesh di 188 dunia dan Malaysia pula 154 dunia serta melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan, ia jelas memihak kepada Harimau Malaya.
Namun, dalam dua perlawanan terakhir ketika aksi persahabatan pada 2012 dan 2015 menyaksikan Bangladesh berjaya mengikat Harimau Malaya 1-1 dan 0-0.
Ketika ini, Bahrain berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan (3 mata) manakala Bangladesh di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Selain itu, Pan Gon menganggap dia memiliki barisan pemain terbaik dalam skuad Harimau Malaya ketika ini dan berharap dapat mencipta pencapaian yang lebih baik untuk penyokong dan negara.
BHOnline