Layan pelanggan dengan senyuman, bukan makian

MELAKA: Golongan peniaga di negeri ini diminta mengawal ‘mulut’ dan sentiasa melayan pelanggan dengan senyuman, bukan makian.

EXCO Pelancong, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkata ia sejajar dengan ajaran Islam, malah Nabi Muhammad SAW juga pernah berpesan supaya umatnya sentiasa menghormati tetamu dengan memberi layanan terbaik meskipun tetamu yang datang tidak disukai.

“Dari dahulu lagi saya dah nasihatkan peniaga, termasuk peniaga makanan supaya layanlah tetamu dengan senyuman.



“Polisi ‘Serve With A Smile’ yang saya perkenalkan sejak tahun 2018 tetap tidak berubah dan bagi saya, mitos yang mengatakan ‘orang Melaka cakap kasar’ sama sekali tidak pernah wujud dan harus dihentikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Jailani berkata, setiap perbuatan kasar itu datang dari peribadi individu tertentu, bukan membabitkan suku atau rumpun bangsa.

“Saya harap sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan dan seterusnya meminta maaf, janganlah babitkan orang Melaka, sebaliknya salahkan diri sendiri,” katanya.

Sejak Khamis lalu, tular video berdurasi 51 saat dalam media sosial mengenai insiden seorang wanita yang membawa ahli keluarganya dari Singapura menjamu selera, mendakwa menerima layanan buruk daripada pemilik sebuah restoran di Banda Hilir, di sini.



Dalam rakaman itu, jelas kedengaran suara pemilik dan anaknya didakwa memarahi pelanggan yang cuba menasihatkan mereka supaya lebih mesra dan bersopan dengan pelancong luar.

Susulan itu, pekerja restoran yang juga anak ketiga kepada pemilik restoran asam pedas itu memohon maaf kepada pelanggannya kerana gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button