‘Ledakan gadis perampas’ Wafariena Roslan
KUALA LUMPUR: Watak dan tuduhan perampas seakan sinonim dengan nama Wafariena Roslan, 27.
Seperti watak Nurul Ain sebagai perampas dalam drama 7 Hari Mencintaimu 2 dan 3, begitulah juga dunia realiti, gadis tinggi lampai itu pernah terpalit tuduhan sebagai ‘orang ketiga’ menjadi punca perpisahan hero gandingannya dalam drama Baby Tak Gila, Syazuwan Hassan dengan bekas kekasihnya.
Biarpun nama Wafariena menggelegak seperti gunung berapi yang meletus, namun, akhirnya segala-galanya berlalu bagaikan angin sepi. Tiada bukti nyata terhadap tuduhan yang dilemparkan.
Kini, Wafariena sekali lagi meledak dengan watak Nurul Ain menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 3 arahan Jamal Khan yang tamat tayangan, bulan lalu.
Sudah tentu pengikut setia drama fenomena yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 itu juga sedia maklum apa yang berlaku terhadap watak antagonis itu.
Perasaan marah dan geram terhadap Nurul Ain terbalas selepas melihat babak diganyang Mak Leha lakonan hebat, Liza Abdullah.
“Bukan penonton sahaja, tetapi saya juga berpuas hati melihat Nurul Ain diganyang Mak Leha.
“Saya pasti babak itulah yang dinantikan penonton selama ini,” kata Wafariena membuka bicara kepada BH Online.
Sambil tertawa, gadis kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, watak Nurul Ain mengajarnya betapa besar impak menjadi perampas dan perosak rumah tangga orang.
Akuinya, bukan sahaja membuka banyak pintu rezeki apabila menerima pelbagai tawaran berlakon termasuk beraksi di layar perak, malah, turut menerima pelbagai kecaman dan ugutan menakutkan.
“Kecaman, saya sudah lali menerimanya. Berbakul-bakul maki hamun netizen dilemparkan dalam media sosial.
“Sebelum ini, ada netizen mengugut menyimbah asid ke muka saya, tetapi sekarang lebih keterlaluan. Ada yang mengugut mahu menghantar santau.
“Saya dapat tahu apabila dimaklumkan ibu. Apabila membaca komen ini, sudah tentu ibu rasa risau keselamatan saya.
Bagaimanapun, komen ini ditulis dalam ruang terbuka, jadi, saya tidak ambil serius sangat.
“Tidaklah sampai tahap nak pasang ‘bodyguard’ ataupun membuat laporan polis. Saya hanya buat tak tahu, namun, pada masa yang sama, saya perlu berhati-hati,” katanya.
Mengulas adakah tidak bimbang watak miang, perosak rumah tangga orang dan busuk hati dianggap warna sebenar dirinya, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 ini mengingatkan penonton agar tidak terbawa-bawa dengan emosi. Ini kerana apa yang disaksikan hanyalah lakonan semata-mata.
“Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membawakan watak Nurul Ain sehabis baik. Nurul Ain hanyalah watak ciptaan dan tak wajar disamakan dengan saya.
“Cuma, saya lihat ia daripada aspek positif kerana apabila ramai membenci, itu bermakna watak dilakonkan memberi kesan.
“Naskhah ini banyak memberi pengajaran dan menjadikan watak Nurul Ain sebagai sikap yang tidak patut dicontohi,” ungkap gadis yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin itu.
Apabila diajukan dakwaan mengatakan watak Nurul Ain kena mengena dengan dirinya yang dikaitkan dengan punca keretakan hubungan Syazwan dan bekas kekasih, Wafariena tidak cepat melatah.
Biarpun ada yang mendakwanya minah rempit, ‘sundal’ dan perampas, Wafariena tetap menegaskan, hubungannya dengan Syazwan sekadar rakan satu industri.
Mengulasnya, Wafariena berkata, kontroversi yang berlaku mengajarnya menjadi wanita yang tidak mudah gentar apabila berdepan isu sensasi.
“Ketika gosip ini heboh, saya berani tampil membuat penjelasan kerana saya berada pada landasan betul.
“Kenapa saya nak rasa takut pada perkara tidak dilakukan?. Bagi saya, berani kerana benar,” tegasnya.
Mengukuhkan kata-katanya, pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini dan Kiblat Yang Hilang itu berkata, hingga kini statusnya masih single.
“Saya masih solo dan tiada teman lelaki. Buat masa ini, fokus saya pada kerja. Jika sampai seru, saya tidak akan merahsiakannya.
“Bagi saya, perkara baik tidak perlu disembunyikan. Saya akan berkongsi kebahagiaan saya dengan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya, selama ini,” janji Wafariena.
Sebelum menceburi bidang lakonan, Wafariena terlebih dahulu bergiat aktif dalam bidang muzik sebagai penyanyi.
Anak keempat daripada tujuh adik beradik itu memulakan kerjaya awal sebagai penyanyi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
BHOnline