Ejen Ali meraih banyak anugerah berprestij

KUALA LUMPUR: Memulakan operasi pada 18 Mac 2013 dengan keringat lapan orang, WAU Animation Sdn Bhd berkembang apabila kini ditunjangi 89 tenaga kreatif yang memiliki kepakaran menghasilkan pelbagai siri animasi dan filem kesan khas sehingga meraih banyak anugerah berprestij.

Ketara sungguh perubahan dilihat apabila BH Online berpeluang melawat studio yang menghasilkan animasi popular, Ejen Ali di Cyberjaya, baru-baru ini.

Namun, sama seperti penggerak industri kreatif lain yang berdepan impak penularan COVID-19, pelbagai perancangan terutama proses penghasilan kandungan baharu tergendala.



Ini termasuk projek menghasilkan filem Ejen Ali The Movie kedua yang memaksa syarikat menukar strategi dengan menerbitkan musim ketiga siri Ejen Ali.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin mengaku tempoh dua tahun dilalui cukup mencabar, namun hadir hikmah yang membantu syarikat melebarkan sayap.

“Selepas menghasilkan filem Ejen Ali pertama, kami berbincang dengan Primeworks Studios (PWS) untuk menghasilkan filem kedua.

“Tetapi kami perlu pertimbangkan semula apabila industri pawagam sekarang agak terjejas akibat COVID-19.



“Selepas kami membuat penilaian, Alhamdulillah, Disney+ Hotstar tampil untuk bekerjasama menghasilkan Ejen Ali musim ketiga.

“Kami mula menulis pada awal tahun lalu. Pada September tahun lalu, kami memulakan proses produksi. Kerja ini mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk kami menyiapkan 13 episod musim ketiga.

“Saya tahu ramai yang menyatakan kerja menghasilkan animasi ini boleh dilakukan dari rumah. Tetapi, saya akui proses kali ini lebih sukar dan mengambil masa lebih lama,” katanya.

Turut bersama Usamah adalah Ketua Penjenamaan WAU Animation dan pengarah seni Ejen Ali, Fuad Md Din serta pelakon suara Ejen Ali iaitu Ida Rahayu Yusoff.



Namun, sebagai satu kumpulan, Usamah bersyukur mereka dapat menghasilkan Ejen Ali musim ketiga dengan baik, biarpun melalui proses lebih lama dan mencabar.

Tambah Usamah, pihaknya berterima kasih kepada Disney+ Hotstar apabila bersetuju menjadi penerbit bersama Ejen

Ali musim ketiga dan dianggap penghormatan besar untuk jenama Ejen Ali.

Usaha sama ini adalah penanda aras yang sangat membanggakan dan pencapaian mengagumkan untuk industri animasi Malaysia.



Mengapa tidak, Ejen Ali adalah harta intelek animasi Malaysia yang pertama terpilih untuk menjalin kerjasama produksi dengan Disney+ Hotstar yang menjadi salah satu platform penstriman terbesar dunia.

Siri animasi Ejen Ali yang turut merangkul pelbagai anugerah ini juga boleh ditonton serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Usamah berkata, pihaknya sangat teruja melihat Ejen Ali berada di pentas dunia, terutama di platform Disney+ Hotstar yang mempunyai pengikut animasi setia.

“Sedia maklum kerjasama dengan PWS banyak membantu kami, apatah lagi apabila platform seperti Disney+ Hotstar tampil untuk menjadi penerbit bersama.



“Sudah tentu kami gemuruh apabila platform besar sebegini mahu bekerjasama. Pada masa sama, kami juga risau kalau ada pihak mengganggu proses kreatif kami.

“Namun, setakat ini, tiada masalah kerana mereka banyak membantu memberi input yang memudahkan proses produksi,” katanya.

Perkara ini turut diakui Fuad yang berharap mereka dapat menghasilkan siri animasi dengan kualiti piawaian produksi animasi terbaik setara cita rasa penonton antarabangsa yang lebih meluas di platform penstriman Disney+ Hotstar.

“Seperti yang dikatakan, kami gemuruh menunggu maklum balas penonton. Sebelum ini, siri Ejen Ali ditayangkan di televisyen (TV) dan kami terima maklum balas sejurus sesebuah episod selesai ditayangkan.



“Dengan cara itu, kami ada masa menambah baik dan menyunting episod seterusnya sebelum ditayangkan. Berbeza kali ini, apabila kami menayangkan semua episod sekali gus.

“Saya harap musim kali ini menepati harapan dan jangkaan peminat. Tidak mahu hampakan peminat, jadi kami banyak berfikir mengenai apa lagi yang boleh dilakukan,” katanya.

Dengan tayangan musim ketiga ini, Usamah berharap Ejen Ali terus memberi inspirasi kepada penonton setianya sejak siri animasi ini disiarkan TV3 pada 2016.

“Karakter dalam Ejen Ali adalah watak yang saya berdepan ketika membesar. Saya mahu penonton rasakan perkara itu kerana ia adalah kisah yang dekat dengan kita semua.

“Saya mahu karakter ini menjadi inspirasi seperti Ali yang bermula daripada kosong dan kemudian menjadi hero. Dia melalui pelbagai cabaran. Ali tidak mengambil masa sehari untuk menjadi hero.

“Disebabkan animasi adalah medium sejagat bagi orang ramai terutama penonton muda, apabila melihat karakter yang menyerupai mereka di layar skrin, kami berharap berjaya memperkenalkan model positif untuk dicontohi,” katanya.

Dalam Ejen Ali musim ketiga, Ejen Ali dan rakan ejen muda dari Akademi MATA disatukan semula dalam pertandingan rahsia di Arena MATA.

Ali bertekad mengikuti jejak langkah ibunya sebagai juara Arena MATA. Namun, Ali menghadapi cabaran sukar untuk kekal bersaing tanpa bergantung kepada alat gajet IRIS apabila bertemu dengan ejen antarabangsa yang jauh lebih berkemahiran tinggi.

Ketika berlangsungnya pertandingan Arena, suatu rancangan rahsia musuh dalam selimut muncul untuk menjatuhkan MATA dan berpotensi melumpuhkan bandaraya futuristik Cyberaya.

Kumpulan penjahat Numeros kembali untuk membalas dendam atas kehilangan ketua mereka Uno. Ini membuatkan Ejen terbaik MATA, Rizwan bertindak sendirian membongkar komplot bahaya mereka.

Dalam langkah mengejutkan, Rizwan bekerjasama dengan bekas ahli Numeros, Dos untuk membongkar rancangan licik Numeros.

Filem Ejen Ali The Movie yang ditayangkan pada 2019, mencipta sejarah dengan meraih kutipan pecah panggung RM30 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button