‘Impian kita ke Piala Asia belum berakhir’

KUALA LUMPUR: ‘Kalaulah rembatan Junior Eldstal tidak melambung tinggi…’. ‘Kalaulah Sayed Sayed Mohamed Abbas tidak menepis percubaan Akhyar…’. ‘Kalaulah Farizal tidak menerjah pemain Bahrain..’

Ini pasti antara senario ‘kalaulah’ yang berlegar-legar dalam kepala penyokong selepas Malaysia tewas 1-2 kepada pasukan ranking ke-89 dunia, Bahrain pada aksi kedua kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Fantasi ke Piala Asia 2023 mula terukir selepas Mohamadou Sumareh meledak gol pembukaan pada minit ke-55, namun penyokong kembali ke realiti apabila Bahrain mengikat kedudukan dua minit berselang.



Namun kedudukan selaku juara Kumpulan E masih berada dalam genggaman sehinggalah 10 minit terakhir apabila Bahrain menerima sepakan penalti selepas penjaga gawang negara, Farizal Marlias menerjah Ali Jaafar Madan pada minit ke-80 sekali gus pengadil memberikan sepakan penalti kepada Bahrain.

Ketika itu, masih ada sinar sekalipun tipis apabila semua mengharapkan Farizal mampu menebus kesilapan, namun jangkaan meleset apabila Abdulla Yusuf Helal menyempurnakannya untuk gol kemenangan Bahrain.

Helal dan Haram – dua kombinasi yang mungkin menyebabkan Malaysia gagal ke Piala Asia 2023.

Tetapi sebelum mencongak kiraan mata maksimum untuk Malaysia, adalah lebih baik untuk kita bermuhasabah sambil meneliti apakah perbezaan besar yang ada pada Bahrain tetapi tidak pada Malaysia?



Ranking, kualiti pemain, corak permainan. Skuad Harimau Malaya jelas tidak kurang daripada tiga aspek ini selepas mampu membuatkan Bahrain ‘sesak nafas’ apabila pemain negara berjaya mengekalkan penguasaan bola.

Jadi apa sebenarnya yang terjadi sehingga Bahrain berjaya menamatkan 90 minit dengan kemenangan sekali gus kini berada pada kedudukan terbaik untuk layak secara automatik ke Piala Asia sebagai juara Kumpulan E?

Jawapannya senang sahaja iaitu kesilapan mudah yang sentiasa dilakukan pemain negara dan sentuhan dari pengendali Korea Selatan sekalipun belum mampu memadam ‘penyakit lama’ yang seakan sudah menjadi ‘tabiat’.

Kesilapan di bahagian pertahanan menyebabkan Malaysia dibolosi pada perlawanan Turkmenistan dan lagi kesilapan nyaris membuatkan Malaysia menghadiahkan gol kedua pada perlawanan, Rabu lalu.



Cuma tidak mengapalah pada perlawanan itu kerana Malaysia sudahpun mendahului 3-0 dan pesanan sama berulang kali dititipkan, jangan buat kesilapan mudah dan jangan ‘belanja’ pasukan lawan.

Kelmarin, kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku diulangi dan ‘kemusnahannya’ kali ini lebih besar. Malaysia kalah dan terlepas tiga mata sekali gus menyaksikan mereka memilih jalan sukar untuk ke Piala Asia 2023.

Farizal seakan mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan pada aksi persahabatan menentang lawan sama pada tahun lalu – cuba menerjah pemain lawan namun ketika itu pemain Bahrain berjaya menjaringkan gol ke gawang kosong.

Malah, Malaysia juga tiada naluri ‘pembunuh’ seperti Bahrain kerana Malaysia memiliki peluang lebih baik untuk meraih kemenangan namun sebaliknya yang berlaku.



Ketinggalan sekalipun, Bahrain tetap tenang dan peluang yang ada pun cuma biasa-biasa tetapi cukup menerbitkan dua gol. Tidak kisahlah bagaimana gol itu terjadi tetapi gol tetap gol dan mereka menang dengan dua gol.

Dan di sini, situasi ‘kalaulah’ kembali menggamit kita dan ‘kalaulah’ apa yang diimpikan itu terjadi tetapi jika mengikut frasa ‘kalaulah’ ini, Malaysia sudah lama layak ke Piala Dunia.

Apapun, peluang masih belum tertutup sepenuhnya buat anak buah Kim Pan Gon kerana ada ‘pintu belakang’. Namun syaratnya Malaysia perlu menamatkan saingan dalam kelompok lima naib juara terbaik saingan kelayakan.

Untuk berbuat demikian, Malaysia tidak perlu belas kasihan kepada Bangladesh dengan meledak seberapa banyak gol yang mungkin apatah lagi lawannya itu sudah pun tersingkir daripada perebutan tiket ke Piala Asia 2023.



Jaringkan seberapa gol yang mungkin dan selepas itu kita harapkan pencabar lain khususnya Filipina dan Indonesia turut tercicir mata ataupun kekurangan gol berbanding Malaysia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button