‘Baby Hatch’ 30 bayi ditinggalkan ibu bapa
Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima 30 bayi yang ditinggalkan ibu bapa sebaik dilahirkan bermula 2018 hingga Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Stratergik) Rosmahwati Ishak berkata, jumlah bayi itu diterima JKM dari beberapa fasiliti kesihatan termasuk hospital swasta yang melaksanakan program ‘Baby Hatch‘ atau peti pelindung bayi.
Beliau berkata, bagi bayi yang tidak berwaris ini, JKM akan membuat laporan polis bagi mendapatkan perintah mahkamah mengikut Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kataya, bayi yang diterima kemudiannya akan ditempat di pusat perlindungan atau orang yang layak dan sesuai (OYLS) bagi untuk menjaga.
“Beberapa hospital swasta di seluruh negara antaranya Selangor, Kedah, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan melaksanakan program ‘Baby Hatch‘ sebagai usaha untuk melindungi bayi yang dibuang,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu Rosmahwati berkata, sejak 2018 hingga Februari lalu, 755 kanak-kanak yang diterima JKM kerana dibuang ibu bapa.
Katanya, bagi menangani masalah ini, JKM bekerjasama mengenai isu pembuangan bayi, program ‘Baby Hatch’ antara perkhidmatan sokongan yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pertubuhan Pengurusan Anak Yatim Kuala Lumpur.
“Bagi perkhidmatan itu, bayi yang diterima menerusi program ini akan ditempatkan di pusat perlindungan sebelum diserahkan kepada keluarga angkat atau OYLS dengan kerjasama JKM,” katanya.
Tambahnya, nyawa bayi amat bernilai dan pasangan yang tidak mahu menjaga anak mereka tidak seharusnya membuang bayi kerana mereka juga berhak untuk menikmati kehidupan yang sempurna.
Menurutnya, mereka boleh menyerahkan bayi menerusi ‘Baby Hatch‘ atau berhubung terus kepada JKM bagi tindakan selanjutnya selain menghubungi Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-2615999 untuk tindakan selanjutnya.
Baby Hatch berfungsi sebagai peti khas yang lengkap berhawa dingin dan pasukan petugas akan mendapat isyarat untuk memberi respon segera sebaik bayi diletakkan.
Seterusnya, bayi akan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan termasuk menyerahkan kepada JKM dibuat pihak yang menjalankan program berkenaan.
Muka depan Harian Metro pada Isnin melaporkan, beberapa hospital di Johor dijadikan ‘lubuk buang bayi’ apabila insan malang dan tidak berdosa itu ditinggal ibu kandung mereka selepas dilahirkan.
Bayi seawal usia kurang seminggu hingga beberapa bulan dikesan ‘dibuang’ waris mereka di beberapa hospital termasuk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Perkara itu diakui Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin yang berkata, kes pengabaian bayi itu tiada kesudahan dan berlaku berulang kali setiap tahun.
Jumlah bayi diterima menerusi Baby Hatch
2018: 8 orang
2019: 8 orang
2020: 9 orang
2021: 4 orang
2022 (Jan hingga Februari): 1 orang
METRO