Pegawai khidmat pelanggan miliki ganja

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai khidmat pelanggan miliki ganja
Antara dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek.

Penahanan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat swasta di tepi jalan USJ 4, di sini, 10 Mei lalu, membawa kepada penemuan 35.76 kilogram (kg) ganja yang bernilai RM111,640.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berusia 32 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis merampas 0.21 kg ganja dalam beg pinggang berwarna hitam kira-kira pukul 11.20 malam.



Katanya, susulan daripada tangkapan ini, suspek telah pandu arah pihak polis ke sebuah rumah di sekitar kawasan Petaling Jaya serta merampas dadah disyaki ganja anggaran berat 35.76 kg.

“Kita dapati sindiket ini bergiat aktif sejak Januari tahun ini manakala ganja ini dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang.

“Jika dikira pasaran ‘street value’, 0.1 kg ganja berharga RM300. Berat dadah yang dirampas ini boleh dijadikan lebih kurang 3500 peket dengan harga RM1.05 juta.

“Modus operandi yang digunakan adalah suspek akan berkomunikasi dengan pelanggan melalui media sosial serta melalui kenalan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, di sini, hari ini.

“Pihak polis percaya dadah yang boleh digunakan lebih 35,000 penagih ini diperoleh dari negara seberang melalui ‘orang tengah’.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini termasuk mengenal pasti mereka yang terlibat berkomunikasi dengan suspek,” ujarnya.

Menurut Wan Azlan lagi, suspek yang berstatus bujang itu didapati positif tetrahydrocannabinol (THC) kerana kesan penagihan ganja dan tidak mempunyai rekod lampau.



“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988 yang mana pihak polis turut menyita wang tunai RM1,270 dan dua buah kenderaan bernilai rm10,000 iaitu sebuah motosikal Yamaha 135LC dan kereta Perodua Bezza.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, polis IPD Subang Jaya berjaya menahan 901 individu atas kesalahan Akta Dadah berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Mei.



“Polis Selangor mengalu- alukan orang awam menyalurkan maklumat-maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada pihak polis di talian hotline 012-2087222 dalam usaha untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara
habis-habisan,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button